Cuci langsir ni bukanlah macam kita cuci baju harian tapi bila bab nak cuci langsir tu memang 'bercinta' sampai tertangguh-tangguh. Impiana kongsi tip & trik penjagaan langsir yang anda boleh cuba.

 

1.Sheer curtain anda menjadi kelabu? Jangan bimbang, rendam je langsir anda dan biarkan semalaman. Kemudian basuh dan bilas seperti biasa. Jika keadaannya masih agak kekuningan disebabkan oleh kesan kimia cahaya matahari, tukarkan fungsinya kepada hiasan katil seperti kelambu atau pembahagi ruang. Paling penting dengan cucian sempurna ia bukan sahaja berbau wangi dan segar, malah bersih serta masih boleh dikitar semula.

 

2.Kucing anda semburkan ‘haruman’ pada langsir anda? Jangan panik! Anda boleh rendamkan bahagian yang terkena semburan kencing kucing anda itu sahaja atau memilih untuk merendamkan keseluruhan langsir. Sebelum merendamkannya ke dalam cecair cucian, sapukan bahagian yang terkena semburan kencing kucing anda dengan ubat gigi. Biarkan dalam sejam dua. Kemudian terus merendam ke dalam cecair pencuci agar bau kencing kucing hilang, malah tidak boleh dihidu oleh kucing anda.

 

3.Bagi langsir yang menggunakan kain tebal, anda boleh menggunakan bulu yam atau fabrik pembasmi habuk. Anda boleh lap debu atau habuk yang melekat pada langsir. Lakukan seminggu sekali terutamanya jika anda menetap di kawasan bandar. Manakala bucu langsir pula boleh disedut dengan menggunakan penyedut hampagas. Ada kalanya debu-debu seumpama inilah yang menjadikan fabrik nampak kotor dan kelabu terutamanya bagi anda yang memilih fabrik daripada jenis renda kasar.

 

4.Bagi yang menggunakan renda, anda juga boleh merendam seketika dengan air panas bersama serbuk pencuci agar rongga jalinan terbuka dan membebaskan kotoran pada celah-celah jalinan benang.

 

5.Awas! Jika anda menggunakan fabrik sheer halus yang eksklusif, pastikan anda menggunakan mesin basuh daripada cucian lembut supaya ia tidak merosakkan kain.

 

6.Pastikan anda hanya mencuci langsir sahaja di dalam satu bekas cucian terutamanya jika anda membasuh langsir yang berwarna gelap. Ini bagi mengelakkan warnanya tidak berbelak atau luntur .

 

7.Anak anda suka menepek gula-gula getah pada langsir? Tentu anda sakit hati bukan? Tenang ya! Anda boleh terus menggosok gula-gula getah tersebut dengan air batu sehingga keras. Kemudian anda boleh menariknya dengan mudah.

 

8.Jika langsir anda mempunyai tiga panel, anda boleh menukar bahagian panel yang anda mahu dan gantikannya dengan fabrik baharu yang bersesuaian terutamanya di bahagian bawah yang selalunya lebih kotor daripada bahagian atas.

 

9.Elakkan membasuh swag dengan mesin basuh terutamanya jika anda menggunakan swag daripada jenis satin polos. Ini boleh menjadikan juraian kain langsir anda berkedut dan amat payah untuk anda menggosokkannya nanti.

 

10.Bagi yang memilih langsir klasik, tali ikatan dengan tassel jangan dibasuh dengan menggunakan mesin basuh. Seandainya kotor, memadai dengan merendamkan tassel tersebut semalaman. Gunakan berus gigi terpakai untuk menyental lembut segala kekotoran jika perlu.