PROFIL TAMAN

Lokasi : Shah Alam Selangor

Nama Pemilik : Zainab Kadir

Jenis kediaman : Teres Lot Tepi

Keluasan tanah keseluruhan : 75 kaki x 75 kaki

Konsep taman : English Tropika

Tempoh taman : 4 tahun

 

Sesungguhnya kediaman ini kelihatan sangat menonjol daripada deretan rumah lain di kejiranannya. Terpegun penulis tatkala sampai ke perkarangan kediaman pemilik. Saling tak tumpah mirip english house design bezanya pemilik bijak menyesuaikan reka bentuk kediaman dan taman agar sesuai dengan persekitaran dan iklim tropika Malaysia. Pemilik yang juga seorang kontraktor tahu apa yang diingininya dan berjaya merealisasikan reka bentuk seperti yang diimpikan.

 

“ Taman saya tidaklah luas tetapi saya memaksimumkan penggunaan ruang sebaik mungkin serta paling utama garapan taman adalah saling melengkapi dengan kediaman secara keseluruhan. Saya mahu konsep taman dan reka bentuk kediaman kelihatan harmoni dan seiring iaitu andai struktur rumah lebih menjurus kepada konsep Inggeris maka taman juga perlu membawa konsep yang sama agar tidak berlaku pertembungan rekaan,” tambah pemilik membuka bicara.

 

 

Mengamati suasana taman kediaman ini penulis sememangnya begitu mengagumi usaha dan kesungguhan yang telah dilakukan oleh pemilik agar kediaman tampil sempurna dan selesa untuk didiami oleh ahli keluarganya. Minatnya dalam dekorasi rumah dan taman sememangnya telah bercambah sejak di usia muda lagi. Tidak hairanlah apabila minat tersebut menjadi perangsang buat pemilik menceburi bidang pembinaan sebagai kontraktor ubahsuai kediaman.

 

“ Saya mula mendiami kediaman ini sejak empat tahun lepas. Rumah ini telah menjalani proses renovasi major yang melibatkan keseluruhan interior dan exterior dan disiapkan sepenuhnya sebelum kami berpindah masuk. Kebanyakan elemen dekorasi taman seperti pasu dan sebagainya adalah hasil produk tempatan dan diubahsuai sedikit mengikut kesesuaian taman saya. Cuma saya agak selektif dalam pemilihan ornamen taman kerana tidak semua produk sesuai dengan konsep taman yang ingin ditonjolkan,” tambah pemilik ramah melayan team LAMAN dengan mesra.

Sesuatu yang menarik perhatian penulis ialah permukaan dinding luar kediaman  pemilik. Uniknya ia menyerupai tekstur susunan kayu tetapi sebenarnya diperbuat daripada konkrit dan dibentuk berlapis sedemikian rupa agar efek rumah Inggeris kelihatan seperti design sebenar. Pemilihan warna cat dinding gabungan kelabu dan putih juga berjaya menzahirkan gaya yang diingini.

Selain itu binaan anjung di bahagian hadapan kediaman melengkapkan lagi rupa taman Inggeris. Anjung yang menjadi lokasi untuk duduk santai sambil menikmati pemandangan hijau taman ini juga adalah inspirasi daripada rumah-rumah kediaman Inggeris. Pemilihan material, reka bentuk, elemen soft landscape dan ornamen taman berjaya diolah sebaiknya oleh pemilik dalam mencipta gaya taman yang menepati konsep asal kediaman ini.

“Jika taman Inggeris kebanyakan dihias indah dengan spesies pokok berbunga berwarna-warni, saya masih cuba mengekalkan suasana yang serupa cuma bezanya mengikut kesesuaian iklim tempatan. Ada juga pokok berbunga yang ditanam seperti Hydrangea spp. dan Bougainvillea spp. serta pokok malar hijau seperti Heliconia spp. Kehadiran pelbagai jenis pokok hiasan ini berjaya menyuntik warna dan tekstur di halaman kecil ini,” ungkap pemilik lagi.

Jika laman hadapan didominasi oleh soft landscape, pemilik menyuntik sedikit elemen air di bahagian sisi kediaman iaitu laluan yang menghubungkan taman dengan laman belakang. Water feature dibina di tembok pagar kediaman menghadap dining room untuk memberi efek bunyi air serta sebagai halwa telinga ketika menikmati hidangan. Walaupun elemen air ini tidak melibatkan ruang yang besar iaitu sekadar satu kaki lebar, tetapi bagi pemilik sudah memadai kerana fungsi utama elemen air ini cukup sekadar meningkatkan kualiti visual dan menambah suasana segar ruang.

Pemilik juga tidak tertumpu pada perimeter halaman di dalam kediamannya sahaja tetapi turut menghias kawasan siar kaki yang berada di luar rumah. Plot-plot tanaman seperti planter box dibina agar kedudukan tanaman hiasan ini kelihatan teratur dan tersusun. Ada yang ditanam di atas tanah dan tidak ketinggalan potting plants disusun kemas di ruang ini. Pemilik juga menjelaskan anak-anak pokok yang dibiakkan di dalam pasu turut diletakkan di sini sebelum dipindahkan ke lokasi yang dikehendaki.

“ Bagi saya apa-apa sahaja yang ingin dilakukan haruslah diiringi dengan ilmu pengetahuan. Justeru saya sentiasa mengikuti bengkel tanaman serta merujuk bahan bacaan dari dalam atau luar negeri untuk kepuasan diri sendiri, sekurang-kurangnya saya arif tentang seni tanaman dan boleh memanfaatkan ilmu ini di halaman sendiri. Ilmu yang ditimba tidak akan pernah rugi malah turut dikongsi bersama rakan-rakan,” tambah pemilik lagi.

Berkongsi tip penjagaan taman dengan penulis, pemilik menerangkan kebanyakan tanaman yang terdapat di kediamannya tidak memberi sebarang masalah serius. Paling penting pastikan rutin penjagaan tanaman dilakukan secara konsisten serta cukup penjagaan asasnya seperti menyiram, membaja dan memangkas. Sebelum mengakhiri pertemuan kami pada pagi itu pemilik juga menekankan bertaman haruslah datang bersama minat kerana secara tidak langsung ia akan mencetus banyak idea untuk mencantikkan laman. Di samping itu juga kekangan ruang bukanlah alasan untuk mengabaikan halaman luar kediaman kerana apa yang penting adalah kemahuan dan kesungguhan.