Bonsai ialah suatu seni untuk menghidupkan pokok miniatur di dalam bekas pasu hiasan. Seni bonsai memerlukan pengamalnya menanam spesies pokok tertentu di dalam pasu yang bersaiz kecil, mengawal tumbesarannya serta menggubah bentuk semula jadi susunan dahan, ranting dan mengikut gaya yang dikehendaki.

Teknik ini bukanlah pemandulan pokok mahupun penggunaan hormon kerana ia tidak langsung melibatkan pengubahsuaian genetik sesuatu pokok terbabit. Ketinggian bonsai biasanya antara 120-140 sentimeter dan jika melebihi ukuran ini, ia tidak lagi dianggap pokok bonsai tetapi dikelaskan sebagai pokok hiasan.

Perkataan 'bonsai' ini adalah dalam sebutan Jepun yang berasal daripada perkataan Cina iaitu 'penzai' yang bermaksud pokok dalam bekas. Bonsai adalah gabungan dua perkataan iaitu 'bon' yang bererti bekas kecil manakala 'sai' ialah pokok.

Walaupun ada pokok bonsai yang berusia sehingga lebih daripada 700 tahun, namun usia itu bukanlah faktor utama bernilainya sesuatu bonsai kerana apa yang lebih diutamakan ialah kecantikannya. Bonsai yang terbaik mempunyai mirip pokok sebenar dalam bentuk mini.

Meskipun seni bonsai sering dikaitkan dengan masyarakat Cina, kini sudah semakin ramai peminat bonsai di kalangan masyarakat bukan Cina yang turut aktif menceburi seni ini, malahan ada juga yang pernah menerima pengiktirafan dalam beberapa pertandingan peringkat kebangsaan

Hasil seni bonsai yang cantik dan menarik sangat bergantung kepada kesesuaian jenis pokok yang dipilih untuk dijadikan bonsai. Sesetengah pokok sememangnya berasa dari Malaysia atau sekitar Asia Tenggara. Selain itu ada juga sebilangannya
merupakan spesies pokok dari benua Amerika, Eropah dan Afrika.

Tidak kira mana asalnya pokok berkenaan, yang paling penting ialah keserasiannya untuk hidup subur dalam persekitaran iklim di tempat ia dijaga. Antara ciri-ciri penting yang perlu ada pada pokok untuk dijadikan bonsai ialah tahan lasak, mempunyai jangka hayat yang panjang, berdaun kecil, serta muda serasi dengan persekitarannya.

Jenis-jenis pokok yang boleh dijadikan pokok bonsai adalah;
i) Pokok Kesinai
ii) Pokok Asam Jawa
iii) Pokok Kemuning
iv) Pokok Cucur Atap
v) Pokok Ara


Pokok bonsai mungkin kelihatan sama pada pandangan orang biasa tetapi tidak bagi golongan yang mahir dengan seni bonsai ini. Setiap bonsai memiliki ciri-ciri yang berbeza dan gaya tersendiri yang membuatkannya unik.

Masyarakat Cina dan Jepun sangat gemar membuat klasifikasi bonsai walaupun terdapat pelbagai jenis gaya yang telah dicipta sebelum nama-nama khas diberikan. Artis bonsai pada mulanya mereka bentuk pokok ini dan kemudian pemerhati telah mengumpulkannya dalam kategori yang boleh dikenal pasti bagi memudahkan rujukan dilakukan.

Gaya bonsai telah dirangka pada dasarnya untuk memudahkan peminat merujuk berdasarkan kepelbagaian gaya bonsai berbanding menerangkannya secara terperinci. Klasifikasi gaya bonsai ini adalah berdasarkan bilangan batang atau pokok dalam komposisi bonsai.

Umumnya gaya asas bonsai ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu gaya batang tunggal, gaya batang berganda dan gaya pokok berganda atau pokok berkumpulan.

Tegak Lurus
Salah satu gaya yang paling biasa dan paling sukar untuk dihasilkan. Batang pokok tegak menghala ke atas dan tirus. Bentuknya boleh digambarkan sebagai bentuk segi tiga atau bentuk kon.

 

 

Tegak Berkelok-kelok
Gaya bonsai yang paling popular. Bonsai ini mempunyai batang yang tirus ke atas, tetapi batang tersebut tidak menegak sepenuhnya dan bentuknya tidak simetri - malah membengkok seperti bentuk 'S'.

 

 

Sapu Terbalik
Gaya sapu terbalik ini juga sering dilihat di alam semula jadi dan dianggap klasik. Batang bonsai ini menegak dan tersusun seakan bentuk penyapu yang berkipas dan terbalik. Gaya ini paling sesuai untuk pokok-pokok berdaun luruh dengan format bercabang halus.

 

 

Melata  
Gaya melata atau menjurai ini diinspirasikan daripada pokok-pokok yang tumbuh di kawasan tebing dan celahan batu. Gaya ini tidak boleh direka dengan hanya membengkokkan anak pokok setebal pensel dari tepi pasu yang tinggi kerana pokok-pokok ini tidak akan berjaya menjadi pokok bonsai yang lata. Gaya ini mempunyai kepala pokok yang pendek dan berbentuk kon dan mesti mempunyai batang yang agak tebal yang melengkung ke bawah serapat mungkin dengan titik mula ia keluar dari pasu.