Tillandsia atau lebih dikenali sebagai air plant mempunyai lebih daripada 540 spesies di dalam genus tersebut. Ia terdiri daripada keluarga Bromeliancaeae iaitu sub- keluarga Tillandsioideae yang berasal dari kawasan hutan, pergunungan dan kawasan gurun America Tengah.

Terdapat dua jenis struktur daun di dalam keluarga Tillandsia. Untuk daun yang berstruktur nipis dan runcing biasanya ia berasal daripada habitat atau iklim lembap seperti di hutan khatulistiwa. Manakala untuk struktur daun yang tebal datang dari kawasan gurun. Tillandsia merupakan tumbuhan jenis epiphytes. Kebiasaannya tumbuhan daripada jenis ini tidak memerlukan tanah atau medium tanaman untuk hidup.

Epiphytes bukanlah tumbuhan parasit yang bergantung sepenuhnya kepada hos atau pokok tumpang untuk hidup. Ia akan menyerap air dan nutrien daripada udara melalui bilah daun. Akar yang terdapat di bahagian bawah Tillandsia hanyalah berfungsi sebagai anchor atau penambat pada permukaan yang disambungkan pada pokok tersebut. Jika Tillandsia dijadikan sebagai indoor plant, ia perlu direndam di dalam air selama dua hingga tiga jam untuk tujuan pengairan.

Lakukannya sekurang-kurangnya dua minggu sekali. Jika persekitaran habitat lembap,  cukup sekadar memberi semburan air terus kepada daun sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu sekali.  Pastikan tiada air yang bertakung di celah daun untuk mengelakkan bahagian yang terendam mula rosak dan lemah, hingga boleh mengundang penyakit serta mengakibatkan tumbuhan mati.

Oleh itu, pastikan Tillandsia terdedah dan menerima pengamatan cahaya juga udara yang mencukupi untuk membolehkan ia kering sepenuhnya.  Suhu optimum untuk habitat tumbuhan ini ialah 50f F-90F. Pastikan Tillandsia tidak terdedah kepada terik matahari terus untuk jangka masa lama terutamanya untuk Tillandsia yang mempunyai daun berwarna hijau kelabu. Ini akan menyebabkan tumbuhan akan cepat tersejat dan mati dalam jangka masa yang singkat.