Bentuk buah menyamai susunan tangan semasa berdoa menjadi buah istimewa masyarakat China dan Jepun.

Citrus medica var.sarcodactylis atau lebih dikenali dengan nama ‘tangan buddha’ atau ‘fingered citron', merupakan spesies ganjil dari famili citrus. Perkataan sarcodactylis berasal dari perkataan Greek, iaiu ‘sarkos’ yang bermaksud ‘suci’ dan ‘dectylos’ bermaksud ‘tangan’. Ia dikatakan berasal dari Barat Laut India.

Citrus medica var.sarcodactylis merupakan spesies pokok bersaiz kecil atau dalam kategori pokok renek yang perlahan kadar pertumbuhannya . Ia boleh mencapai ketinggian di antara 2-5 meter sahaja. Dahannya tumbuh berterabur dengan ranting yang keras dan mempunyai duri yang agak panjang di bahagian cabang daunnya.  Daunnya malar hijau dan mengeluarkan aroma bau limau dengan bahagian tepi sedikit bergerigi, ia berbentuk bujur dan panjangnya di antara 10-15sm.

Bunganya mempunyai empat hingga lima kelopak, berwarna putih dan mengeluarkan bau yang amat tajam.Spesies ini amat terkenal kerana buahnya yang amat unik berukuran 10-25sm panjang, berbentuk bujur atau oblong, berpecah di bahagian hujung tangkai, memisahkannya kepada beberapa segmen yang seakan-akan menyerupai jari manusia.


Terdapat di antara 5-20segmen bagi setiap kelompok buah. Empulur atau isinya berwarna putih pejal yang dikenali sebagai slbedo dan tidak mempunyai biji. Warna buahnya berubah dari hijau semasa masih muda kepada warna oren kekuningan apabila matang. Buahnya tidak akan gugur dan kadangkala beratnya boleh mencapai 4-5kg sekiranya tidak dipetik dan dibiarkan masak sepenuhnya.

Sekiranya buah tersebut tidak dipetik, dikhuatiri dahannya akan bengkok atau patah ke tanah dan akan menyebabkan pelbagai penyakit fungsi kepada pokok. Kulitnya tebal dan mempunyai rasa lemon yang tajam.

Mengikut kepercayaan, buahnya kerap digunakan dalam upacara keagaan Buddha sebagai media persembahan kepada kuil-kuil (di situlah namanya dikenali sebagai tangan Buddha) kerana setiap buah dipercayai menyamai susunan tangan ketika berdoa.


Walaupun tanpa isi yang berair, ia kaya dengan minyak yang mengeluarkan aroma citrus dan kandungan vitamin C yang tinggi. Justeru ia kerap digunakan dalam bidang perubatan sebagai tonik, ubat batuk, reumatik, penyakit kulit dan daya penglihatan yang rendah.

Manakala di Jepun, ia dikenali sebagai ‘bushukan’, kerap dijadikan sebagai hadiah paling popular semasa menyambut kedatangan tahun baru. Mengikut kepercayaan masyarakat di sini ia dapat menzahirkan nasib yang baik kepada isi rumah.