Cara terbaik untuk melindungi tanaman daripada serangan makhluk perosak adalah  melalui kaedah  kawalan dan penyelenggaraan. Sama ada  menggunakan racun kimia atau organik semburan hendaklah dilakukan  mengikut jadual tanpa mengira serangan telah bermula atau tidak.Berikut disediakan cara menyenggara tanaman menggunakan bahan organik.

Penyediaan bahan Larutan stok
• 1 liter Air
• 1 Sudu Besar Minyak Masak / minyak sayur
• 1 Sudu besar sabun basuh
• 4 – 6 Ulas bawang putih ( ditumbuk )

Langkah - Langkah
• Masukkan minyak masak atau minyak sayur dan sabun ke dalam 1 liter air
• Tumbuk 4 – 6 ulas bawang putih dan masukkan ke dalam larutan tadi.
• Setelah dikacau , tapiskan
• Untuk penyemburan : campurkan 1 bahagian Larutan Stok dengan 4 bahagian air.

Bagi serangan serangga jenis mengunyah, campurkan beberapa 2-3 biji cili api/masak (hancurkan ) atau lada hitam (ditumbuk) manakala serangan serangga jenis menghisap, anda perlu campurkan beberapa titis minyak listari (essential oil) atau halia (ditumbuk) atau serbuk kunyit. Selain daripada itu, ekstrak tumbuhan lain bagi tujuan kawalan serangga perosak dalam kuantiti yang besar adalah:

Ekstrak bawang
Hancurkan 50 gm bawang dalam 1 liter air. Tapis dan semburkan pada pokok.

Campuran minyak kayu putih (Tea Tree Mixture)
Campur 5 ml minyak kayu putih ke dalam 10-20 liter air. Gunakan dengan cara basahkan tanah di sekeliling pokok (Soil Drenching).

Ekstrak halia
Kisar 20 gm halia dalam 1 liter air. Tapis dan sembur 3 kali seminggu.

Ekstrak daun Neem (semambu)
Campurkan 2 kg daun Neem yang sudah di tumbuk lumat bersama dengan 30g sabun basuh. Tinggalkan semalaman dan tapis. Setiap 5 liter bahagian dicampurkan dengan 15 liter air dan semburkan ke pokok.

Ekstrak bawang putih
Juga untuk kawalan vektor seperti kutu daun dan teritip serta lalat putih. Campurkan 100 gm bawang putih di cincang dalam 0.5 liter air.
Tambahkan 10 ml minyak masak dan 10 gm sabun. Tinggalkan semalaman dan tapiskan. Untuk semburan, campurkan larutan campuran bersama air dengan nisbah 1:200.

Jom Tambah Ilmu  & Kenali Jenis- Jenis Serangga


Serangga Jenis Mengunyah
• Kumbang
• Belalang
• Kupu-kupu
• Ulat Bulu
• Siput
• Lintah Bulan

Serangga jenis menghisap (Pembawa virus dan penyakit)

• Aphis/ phid /kutu Daun
• Koya
• Pianggang
• Teritip (Scaler)
• Kulat Putih