Bagi pencinta taman organik, mewujudkan tanah subur, kaya dengan humus dan nutrien adalah kunci utama tanaman menjadi subur sama ada pokok buah-buahan, sayur, tanaman hiasan seperti renek, pokok dan banyak lagi. Kesuburan keseluruhan tanah sangat mustahak berbanding proses memberi baja yang rutin semata-mata tanpa kita tahu keperluan sebenar tanah. Tanah halaman kita mungkin kekurangan nutrien tertentu atau struktur tanah yang kurang bagus atau pH tanah yang terlalu tinggi atau rendah. Anda bertuah jika memiliki tanah yang subur, jika tidak terpaksalah melakukan sesuatu bagi menyuburkan tanah menjadi medium tanaman yang baik untuk tanaman anda.

 

Baja kimia VS Baja organik

Banyak juga bahan organik berfungsi sebagai baja dan pemulih tanah; kedua-duanya menyuburkan tanah dan tanaman. Ini adalah salah satu perbezaan utama peranan bahan organik dengan bahan kimia terhadap penjagaan tanah dan pembajaan. Baja kimia mudah larut mengandungi garam mineral bagi membolehkan akar menyerap pantas. Bagaimanapun, garam ini tidak memberikan makanan kepada organisma mikro dalam tanah dan cacing; malahan akan memusnahkan cacing tersebut lantaran tanah menjadi berasid kesan kehadiran garam mineral tadi.

 

Selalunya, tanah yang dirawat menggunakan baja kimia sintetik akan kehilangan bahan organik dan hidupan organisma tanah yang banyak memulihkan kualiti tanah. Apabila proses ini berterusan, struktur tanah akan terjejas, kapasiti menakung air menurun dan semakin banyak baja kimia yang digunakan gagal diterima oleh tanaman kerana ia akan mengalir keluar terus dari pasu (jika menggunakan pasu) atau mengalir tanpa dapat di’pegang’ oleh tanah. Dalam hal ini, anda terpaksa menggunakan lebih banyak baja di masa akan datang bagi menggalakkan pertumbuhan tanaman. Tetapi, sekiranya anda menggunakan baja organik, masalah ini dapat dielakkan.

 

Proses menghasilkan baja kimia dibuat daripada bahan atau sumber yang tidak boleh diubah semula seperti gas natural. Ada juga yang diperbuat daripada mineral batu dengan asid bagi membolehkannya mudah larut. Kita agak bertuah kerana kini telah banyak baja organik boleh didapati di pasaran. Namun begitu, dilema tetap ada apabila kita pasti sejauh manakah baja organik itu menggunakan bahan organik sepenuhnya. Sebagai pendekatan selamat, pilih baja yang ada label ‘organik natural’, ‘slow release’ dan ‘low analysis’. Berhati-hati dengan sebarang produk baja yang menyatakan bacaan NPK melebihi 15. Cuba dapatkan nasihat pakar tanaman untuk mencadangkan baja yang baik atau sekurang-kurangnya menghampiri standard baja organik.
 

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.592743.1480488952!/image/image.JPG

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.592744.1480489063!/image/image.jpg