Sayur bayam merupakan sayur yang elok dan sedap untuk dimakan. Tahukah anda ia sangat mudah untuk ditanam dan juga boleh hidup dalam pasu/bekas dan kawasan yang teduh?

Jadi, mengapa ragu-ragu? Lebih selamat dan organik untuk kita menanam sayuran sendiri. Bukan sahaja jimat belanja, ia juga boleh menjamin keselamatan makanan anda.

Lagipun jika kita beli, bukanlah kita beli dalam kuantiti yang sangat banyak. Biasanya makan sekali sudah mencukupi bergantung kepada bilangan ahli keluarga. Maka, apa salahnya kita tanam sendiri?

Dapatkan biji benih sayur bayam

Anda boleh dapatkan biji benih di nurseri ataupun beli sahaja di pasar raya yang ada bahagian gardening. Untuk mula mencambahkan biji benih, sediakan satu dulang (atau tin muffin) dan letakkan tanah. Masukkan biji benih dan tekan sedalam 1/2 inci.

Biarkan biji benih bercambah sekurang-kurangnya 2 - 3 helai daun pucuk (5 - 14 hari) barulah anda pindahkan ke pasu atau bekas yang lebih besar dan sesuai.

Pasu pilihan

Pastikan pasu anda sekurang-kurangnya 6 - 8 inci kedalamannya. Tidak perlu dapatkan yang terlalu dalam tetapi lebih baik ambil yang lebar. Anda juga boleh gunakan pasu-pasu kecil atau dalam kotak kayu yang panjang (mudah untuk diletakkan di tepi tingkap).

Ruang selesa

Sebaiknya ruang di antara dua pohon adalah 3 inci, jika anda mahu lebar daun yang lebih beri ruang sebanyak 5 inci. Jika anda mahu petik sayur pada usia muda, cukup ruang hanya 2 inci sahaja.

Jika anda menggunakan kotak kayu yang panjang, letak penghadang antara dua pohon agar lebih mudah untuk anda mengagak jarak yang sesuai di antara keduanya.

Peringatan:

Posisi - Pastikan anda letakkan sayur ini di kawasan yang teduh kerana panahan matahari yang terik boleh merosakkan sayur ini.

Tanah - Gunakan tanah yang kaya dengan kandungan nutrien organik. Tekstur tanah harus dalam keadaan yang polos dan tidak padat. Ini untuk mengelak sayur anda 'lemas'. pH tanah juga harus neutral.

Siraman - Jangan siram sehingga air bertakung dalam pasu/bekas. Cukup dengan membiarkan tanahnya lembap untuk memastikan irigasi dalam pasu/bekas berfungsi baik.

Baja - Berikan sayur ini sumber nitrogen yang mencukupi. Sebaiknya letakkan baja siap-siap bersama tanah sebelum menanam biji benih sayur ini. Gunakan baja organik seperti kompos untuk lebih selamat.