Terdapat pelbagai jenis tembikai yang sesuai ditanam untuk iklim Malaysia. Namun tembikai merah atau nama saintifiknya Citrullus lanatus var. Lanatus dari keluarga Cucurbitaceae menjadi kegemaran ramai. Tembikai merah merupakan tumbuhan yang berasal dari utara Afrika. Ramai beranggapan tembikai perlu ditanam di atas sebidang tanah yang luas. Sebenarnya tanah yang sempit di halaman rumah juga sesuai untuk dijadikan lokasi penanaman tembikai. Antara cara-cara mudah untuk menanam buah tembikai di halaman rumah adalah:

1.Rendam biji benih tembikai dengan menggunakan sedikit racun kulat yang dicampurkan bersama racun serangga. Ia dapat memastikan benih tembikai selamat ketika percambahan.



2.Semai anak benih di dalam bekas semaian yang mengandungi medium khas untuk percambahan biji benih. Pastikan setiap lubang hanya diletakkan sebiji benih sahaja.

 


 


3.Anak benih sesuai dipindahkan ke batas tanaman kekal setelah mengeluarkan daun yang ke-6.

 


4. Sediakan satu busut atau batas tanaman berukuran 3 kaki x 3 kaki dengan ketinggian 6 inci. Pastikan tanah dari jenis ringan atau mengandungi bahan organik yang tinggi. Nilai pH tanah yang bersesuaian untuk tanaman tembikai adalah di antara 6 hingga 6.8. Pastikan busut yang dibina menerima cahaya matahari secara langsung dan tidak terlindung.

5. Letakkan sungkupan di sekeliling anak benih sejurus ia dipindahkan ke batas kekal. Ini bertujuan untuk mengekalkan tahap kelembapan tanah dan dapat mengawal pertumbuhan rumpai.

6. Selepas hari ke-10 hingga 15, anak pokok perlu dipangkas untuk memastikan ia mengeluarkan cabang atau tunas yang baru. Selain itu, ia juga dapat membantu untuk menghasilkan buah yang lebih banyak.

7. Lakukan pembajaan setiap dua minggu sekali. Untuk peringkat awal pertumbuhan, baja perlu ditabur secara bulatan di sekitar anak pokok. Pastikan jarak baja yang ditabur 30 cm dari pangkal pokok.

 



8. Pokok tembikai memerlukan air yang banyak untuk tumbesaran yang sihat dan penghasilan buah yang banyak. Lakukan penyiraman seawal pagi dan pada waktu lewat petang.

9. Kebiasaannya, pokok mula berbunga dan berbuah pada hari ke-60 selepas pemindahan. Untuk mendapatkan hasil buah yang berkualiti, pastikan pokok hanya mempunyai dua biji buah dalam satu masa. Jika terdapat putik yang seterusnya, ia perlu dibuang.

10. Buah tembikai akan menunjukkan tanda-tanda sudah matang atau sedia untuk dituai apabila:


a) Warna putih kulit buah yang bersentuhan dengan tanah bertukar menjadi kekuningan.
b) Apabila ditepuk atau dijentik, buah menghasilkan bunyi seakan-akan berongga.
c) Urat atau jalur pada permukaan kulit buah mula pecah dan pudar.