Dalam masyarakat Melayu, daun semambu sering dikaitkan dengan penyakit campak dan cacar air pada kanak-kanak. Ini kerana ianya dipercayai dapat mengurangkan ruam dan rasa gatal serta miang akibat penyakit yang disebabkan oleh virus measles dan penyakit cacar air (chicken pox) yang disebabkan oleh virus varisela zoster. Dan amalan ini masih lagi dipraktikkan hingga ke hari ini walaupun kebanyakkan kanak-kanak di Malaysia telah kebal (imun) pada penyakit ini sejak adanya program campak kebangsaan.
    
HEBATNYA pokok semambu

Pokok semambu yang juga dikenali sebagai mambu atau nama saintifiknya Azadirachta indica merupakan tumbuhan saka dari keluarga mahogani iaitu Meliaceae yang boleh mencapai ketinggian sehingga 20 meter. Tumbuhan ini dikatakan berasal dari India, Myanmar, Bangladesh, Sri Lanka dan Pakistan. Namun ianya juga boleh didapati tumbuh di kawasan tropika dan kawasan semi-tropika. Di Malaysia, pokok ini didapati kini banyak ditanam sebagai pokok landskap taman terutama sekitar Putrajaya kerana bentuk kanopinya yang menarik.


Batang pokok semambu agak besar dan berkulit tebal. Daunnya menyirip genap dan berbentuk bujur dengan tepi bergerigi dan runcing. Daun majmuk tersusun bertentangan dengan jumlah helaian antara 8-16 helai tersusun pada tangkai daun. Daun berbentuk memanjang dengan sedikit melengkung seperti bulan sabit (lancet) berukuran antara 5 – 10.5 cm. Mengeluarkan buah berukuran 1-1.5 cm berbentuk bujur kecil yang berwarna hijau terang ketika muda dan kuning apabila matang.


Terdapat pelbagai nama lain yang dirujuk dengan tumbuhan ini termasuk nimba (Indonesia dan Sanskrit), Neem (Bengali), Arya Veppu (Malayalam), Azad Dirakht (bahasaParsi), DogonYaro (dalam sesetengah bahasa Nigeria), Neeb (bahasa Arab), Nimtree, Vepu, Vempu, Vepa (bahasaTelugu), Kohomba (bahasa Sinhala), Vempu(bahasa Tamil), Tamar (bahasa Burma) dan Indian Lilacataumargosa(Inggeris).


Pokok semambu dianggap sebagai pokok perubatan dan digunakan secara meluas dalam upacara keagamaan Hindu dan banyak ditanam berhampiran kuil. Digunakan secara meluas dalam perubatan Ayurveda dan homeopati oleh orang India.


Terdapat kandungan anti bakteria, anti parasit, anti kulat dan anti virus pada pokok semambu. Daunnya yang dikisar menjadi serbuk atau pes dikatakan sangat berkesan untuk melegakan penyakit kulit seperti ekzema, alahan kulit, ruam, gatal-gatal, kurap dan ia juga sangat berkesan apabila digunakan untuk merawat kecederaan kulit akibat terluka atau terbakar.


Selain dari itu, minyak pokok semambu boleh memberi hasil yang menakjubkan. Ia boleh mencegah keguguran rambut, uban dan merawat kelemumur. Ia juga sering digunakan sebagai minyak urut atau salap untuk melegakan kesakitan seperti rheumatoid arthritis, gout, osteoarthritis dan sakit belakang.


Pokok semambu terkenal di seluruh dunia, dan di Afrika Timur misalnya, pokok semambu dikenali sebagai Mwarobaini (Swahili) yang bererti pokok 40, kerana dikatakan mampu merawat 40 jenis penyakit. Manakala di India, tanaman ini disebut sebagai ‘the village pharmacy’ kerana kepelbagaian gunanya oleh masyarakat miskin di luar bandar terutama untuk penyembuhan penyakit kulit, anti inflamasi, demam, anti bakteria, anti diabetes, penyakit kardiovaskular serta digunakan sebagai racun serangga. (McCaleb, 1986).

MAGIS DAUN SEBAGAI PENAWAR

Daun semambu yang mengandungi kompaun yang di antaranya β-sitosterol, hyperoside, nimbolide, quercetin, quercitrin, rutin, azadirachtin, dan nimbine mampu melegakan masalah penghadaman, penawar sembelit dan memulihkan fungsi usus. Ia juga berkesan memperbaiki kualiti darah serta menyah toksik dalam darah, meningkatkan sistem imun, mengawal paras gula dalam darah dan mengekalkan badan bebas penyakit.


Kombinasi kandungan, nimbine, 6-desacetylbimbine, nimbolidedan quercetin yang terdapat dalam daun semambu juga disebut mempunyai aktiviti anti kanser, ubat penyakit kulit, tekanan darah tinggi, ulser peptik serta digunakan juga sebagai repelan. Keseluruhan pokok semambu mempunyai rasa yang pahit termasuk serpihan kulit batangnya yang digunakan sebagai ubat malaria atau dijadikan sebagai tonik. Maka benarlah seperti yang dikatakan ‘ubat itu pahit’. Namun pengambilan ekstrak dari tumbuhan ini perlu mendapatkan pandangan pakar perubatan terlebih dahulu.


Dari satu penyelidikan makmal, mengesahkan hasil minyak yang diekstrak dari pokok semambu boleh bertindak sebagai racun serangga (insecticide), racun nematode (nematicides) dan racun kulat (fungicide). Bahan aktif azadirachtin yang terkandung dalam tumbuhan ini berfungsi sebagai racun larva dan anti pemakanan.


Ianya dikatakan mampu mengawal serangan 400 hingga 500 spesies serangga seperti belalang, kumbang dan serangga penghisap cecair tumbuhan. Ini termasuk aphids, bena putih, teritip, kutu daun, lalat putih, lalat buah, nyamuk, lipas dan banyak lagi. Manakala dalam penternakan ayam, penyakit sampar ayam boleh juga diubati dengan menggunakan minyak dari ekstrak daun semambu.


Penggunaan semambu untuk dijadikan bio-insecticide boleh dilakukan dengan mencampurkan buah atau bunganya dengan bahan lain seperti serai wangi, lengkuas, gadung, sabun dan alkohol.
Selain dari kegunaan perubatan, bentuk kanopi pokok semambu yang merimbun dan rendang sesuai dijadikan tanaman lindungan atau hiasan dan landskap taman awam atau di sepanjang bahu jalan taman dan kawasan perumahan.   


Kepelbagaian kegunaan pokok semambu menjadikan ianya sangat unik dan banyak kaji selidik tentang manfaatnya telah dijalankan oleh pakar-pakar botani di seluruh dunia mengenainya. Diharap banyak penemuan baru akan terhasil secara lebih saintifik mengenai tumbuhan ini terutama dalam bidang perubatan dan pertanian untuk masyarakat dunia sejagat.