Ramai di antara kita selepas memotong sayur kangkung untuk dimasak, batang di bahagian akarnya akan terus dibuang. Nanti dulu jangan buang lagi. Ada gunanya untuk ditanam semula menggunakan teknik keratan batang ini.

Keratan batang: Ia juga boleh ditanam menggunakan kaedah keratan batang.Letakkan batangnya dalam air  agar ia berakar sebelum menanamnya di batas atau dalam polibeg.

Keratan pokok berakar: Ia juga boleh ditanam menggunakan keratan bahagian bawah batangnya yang berakar. Apabila membeli sayur ini dari pasar biasanya penjual akan memotong dan membuang bahagian bawah batangnya yang berakar dan hanya mengambil bahagian atasnya untuk dimasak. Sebenarnya bahagian bawah batangnya yang berakar itu boleh ditanam semula untuk mendapatkan hasilnya yang kedua. Sebelum menanamnya letakkan dulu batang yang berakar itu ke dalam bekas air bertakung  bagi menggalakkan pertumbuhan tunas anak pokok yang baru. Selepas itu pindah dan tanam di batas atau dalam polibeg untuk mendapatkan hasil seterusnya.

Kangkung sesuai tumbuh dalam pelbagai jenis campuran medium tanaman tetapi perlulah  gembur dan kaya dengan bahan organik. Campuran medium tanaman untuk pokok berpasu iaitu dalam campuran  3:2:1 (Tanah gembur:Bahan organik: Pasir sungai) boleh digunakan untuk menanamnya.

Penjagaan:

1) Siram dua kali sehari pada hari panas untuk mengekalkan medium tanamannya lembap sentiasa agar pokok dapat tumbuh membesar.

2) Ia perlu didedahkan kepada cahaya yang banyak untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

3)Kebanyakan jenis baja adalah sesuai untuk pokok ini tetapi penggunaan baja organik seperti najis ayam, najis kelawar, najis kambing yang siap diproses adalah amat digalakkan untuk pertumbuhan yang subur dengan rasanya yang lebih enak serta berkhasiat.

Selamat mencuba