Salah satu elemen yang boleh membantu penampilan taman atau kebun bunga anda nampak berbeza daripada yang lain adalah dengan menggunakan pasu berkarakter dan unik daripada bahan terbuang. Ayuh gunakan kreativiti anda dan lakukannya sendiri.

Botol
Bagaimana jika melihat tanaman yang anda tanam berada dalam, botol? Tidak kira botol jenis kaca atau pun plastik, bekas seperti ini pasti mengundang seribu tarikan apatah lagi jika disusun berkelompok dalam kuantiti yang banyak.

Kasut
Jangan dibuang begitu sahaja kasut yang lama yang tidak mahu digunakan lagi. Sebaiknya anda perlu membersihkan dan mula menanam tanaman di dalamnya. Yang terbaik adalah but lama atau but hujan bersaiz besar. Untuk kelihatan lebih menarik, anda boleh merendah kasut tersebut ke alam air bancuhan simen dan keringkan sehingga ia keras. Unik bukan?

 


Baldi & Sinki
Daripada membiarkan baldi lama tidak terusik, ada baiknya anda membersihkannya dan memotong lubang di bahagian bawah untuk saliran. Pelbagai tumbuhan kecil atau spesimen tunggal sesuai untuk ditanam di dalamnya.

 


Perabot
Memerlukan sesuatu yang kelihatan agak klasik dan menarik ? Percubaan boleh dimulakan dengan menanam tanaman di dalam perabot lama yang tidak digunakan. Ia akan kelihatan lebih cantik jika adanya kerusi rotan rona coklat diserikan dengan tanaman pelbagai warna atau laci meja konsul yang dibiarkan terbuka dan terdapat tanaman di dalamnya.

 


Pinggan Mangkuk
Benar seperti dikatakan, barang lama bernilai harganya. Ketahanan yang ada padanya juga membuatkan fungsinya dipelbagaikan. Mencuba sesuatu kelainan dengan menanam tanaman pada pinggan mangkuk adalah sesuatu yang menarik. Anda boleh menggunakan bit logam gerudi bagi membuat lubang dan kemudian catkan.

 


Tayar
Tayar lama yang sudah bocor atau haus bunga usah dibuang. Anda boleh warnakan tayar tersebut dengan cat minyak. Tanaman yang sesuai ditanam di dalam tayar ini adalah daripada jenis menjalar.