Tanaman herba kini semakin menjadi pilihan. Ini kerana ia mudah di tanam, tidak perlukan kos yang tinggi, boleh di tanam di dalam rumah asalkan ada sumber cahaya yang masuk dan banyak lagi. Antara tanaman herba yang mudah di tanam dan boleh ditanam secara indoor adalah:

-Pegaga
-Daun saderi
-Pudina
-Kucai
-Rosemary
-Kesum
-Kemangi
-Tulasi
-Thyme
-Taragon

Sekiranya anda baru hendak berjinak-jinak untuk menanam tanaman herba, di nasihatkan mulakan dengan beberapa spesis herba sahaja dahulu. Kemudian apabila telah mahir barulah boleh hasilkan kebun ataupun garden kitchen dengan pelbagai gaya mengikut citarasa anda.   Bercerita tentang gaya, apa yang menariknya sekarang ini tanaman herba yang selama ini sering ditanam di pasu ataupun ditanah secara konvensional, kini tampil dengan gaya yang lebih kreatif dan segar.

Ia kini bukan sekadar berfungsi sebagai tanaman yang boleh di makan, malah menjadi satu seni hiasan dalaman yang memukau. Satu perkara lagi yang anda harus tahu, sebenarnya menanam tanaman herba ini boleh menggunakan apa-apa sahaja bekas terbuang yang terdapat di sekitar kediaman. Antaranya bekas plastik, botol kosong, periuk yang sudah tidak digunakan, bekas pencuci, tin susu dan sebagainya. Menukar bahan-bahan terbuang ke bentuk yang bermanfaat dan baik sebenarnya tidak sukar.

Siapa kata anda perlu membeli pasu cantik dan mahal barulah tanaman menjadi? Guna pakai sahaja apa yang ada di sekeliling rumah kerana selain menjimatkan kos, kita juga sedang membantu melahirkan alam sekitar yang lebih baik tanpa pencemaran. Ini sedikit sebanyak dapat menyumbang ke arah memelihara alam sekitar. Selain dari itu, harus diingatkan juga kreatif dalam mencuba pelbagai sumber di sekitar anda bukan sahaja memberi pulangan secara tidak langsung tetapi dapat membantu anda menjimatkan kos sara hidup dalam suasana serba mahal ketika ini.

Apa yang menariknya apabila adanya idea-idea kreatif untuk menanam tanaman herba ini secara tidak langsung ia telah menarik minat generasi muda untuk menjalankan aktiviti bercucuk tanam ataupun berkebun. Semakin ramai yang berlumba-lumba mengolah tanaman dapur menjadi sekreatif mungkin. Di samping boleh di makan, aroma yang menenangkan dan hiasan tambahan yang menarik untuk dapur. Jadi jom berkebun sekarang! WEB IMPIANA kongsikan dengan anda 10 Gaya Menarik Tanaman Herba !