Ruang dalam kediaman telah dihias dengan sempurna, bagaimana pula dengan tatarias untuk ruang laman? Seharusnya anda tidak sesekali mengabaikan kecantikan pada ruang ini kerana ruang taman lah yang menjadi penyambut tetamu anda!

Buat anda yang masih belum berkesempatan untuk menghias ruang laman sempena raya ini jangan risau kerana anda boleh mendapatkan pelbagai jenis pokok hiasan di nurseri.

Tetapi sebelum itu mari kita semak 8 perkara yang anda perlu tahu sebelum membeli di tempat tersebut;


1. Kebiasaannya pokok yang terdapat di nurseri ditempatkan di dalam kelompok sama spesis. Oleh itu, apabila memilih, tidak semestinya pokok yang paling besar di antaranya yang terbaik.Ini kerana pokok yang besar mungkin mengalami kejutan yang lebih berbanding pokok kecil apabila dipindahkan di tempat baru.

2. Perhatikan tanda-tanda penyakit yang mungkin terdapat pada pokok itu. Selalunya tanda penyakit tumbuhan akan kelihatan pada batang atau daunnya. Antara tanda-tanda serangan pada pokok ialah;


Jika diserang perosak jenis mengunyah:
~ Daun kelihatan berlubang atau koyak, ulat perosak kelihatan merayap pada bahagian pokok dan daun, bunga atau dahan menjadi busuk.

Manakala jika serangan bakteria:

~ keseluruhan pokok kelihatan layu, bahagian daun kelihatan berbintik-bintik dan pokok semakin mereput dan busuk.


3. Anda juga perlu perhatikan tanda serangan serangga seperti kutu dan sebagainya pada batang, celah daun dan ranting. Ini kerana ia mungkin akan menjangkiti tanaman anda yang lain apabila tiba di rumah.


4. Hindari pokok yang mempunyai rumpai dalam polibeg atau pasu tanaman.Ini bermaksud pokok tersebut telah berada pada tempoh yang lama di situ serta diabaikan.

5. Elakkan pokok yang akarnya kelihatan sudah menjulur keluar dari pasu. Ini juga petanda pokok ini telah diabaikan sekian lama.


6 Periksa keadaan pokok sama ada ia dijaga dengan baik ataupun sebaliknya. Lihat juga kadar kelembapan tanah, adakah ia baru dipangkas dan rupa bentuk pokok secara kasar.


7. Jika anda inginkan tanaman hiasan berbunga, beli tanaman yang banyak kudup dan anda boleh menjangka bila ia akan kembang mekar.


8. Lihat pada sebelah bawah daun terutamanya bagi kemboja dan bunga tasbih. Pastikan tiada serbuk perang kekuningan yang berada di situ.