Cuka putih banyak digunakan di dapur dan juga untuk mencuci. Jangan terkejut jika ia juga sangat berguna untuk laman anda. Memandangkan cuka putih ini bahan natural jadi kegunaannya tidak akan membawa kesan negatif kepada tumbuhan dan persekitaran.

Mari Impiana senaraikan 8 kegunaan cuka putih ini.


1. Membersih pasu tanah liat

Jika rumah anda masih lagi menggunakan pasu jenis ini, gunakan cuka putih untuk membersihkan ia dari kotoran dan juga efek cuaca.

Gunakan ratio 1 : 4 @ 5 untuk kuantiti cuka : air. Rendam pasu ke dalam solusi ini selama 20 - 30 minit. Kemudian berus pasu untuk hilangkan kotoran.


2. Membuang rumpai pada dinding dan walkway laman

Cuka putih boleh mematikan rumpai yang tumbuh pada dinding dan juga walkway laman. Mudah sahaja, sembur sahaja cuka putih (tanpa campuran air!) pada rumpai tersebut.


3. Menghalau semut

Cuka putih juga sangat efektif dalam menghalau semut. Caranya, campur cuka (putih atau epal) dan air dalam ratio 1:1 dan renjis tempat di mana sarang semut ada dan juga laluan mereka.

Bau yang kuat dari cuka ini akan membuatkan mereka mengelak tempat tersebut.


4. Menghalang binatang dari mendekati laman

Tahukah anda binatang perosak seperti tikus, tikus mondok, kucing, anjing dan lain-lain sangat tidak sukakan bau cuka yang kuat. Anda boleh menghalang binatang-binatang ini dengan merendam kain buruk dengan cuka dan letakkan pada batang kayu di tempat-tempat yang mereka selalu 'lepak'.


5. Memanjangkan nyawa bunga hidup yang dipotong

Siapa sangka? Caranya campurkan 1 liter air bersama 2 sudu besar cuka putih serta satu sudu kecil gula. Rendamkan!


6. Menghalang ulat buah

Hindari buah yang sedang masak dari diserang ulat buah dengan menggunakan umpan cuka. Untuk umpan ini anda perlukan 1 cawan air, 1/2 cawan cuka epal, 1/4 cawan gula dan 1 sudu besar molases.

Campur semua bahan ini dan letakkannya dalam bekas kosong dan gantung pada pokok buah yang anda mahu lindungi. Resepi ini juga boleh anda gunakan untuk menghalau lalat ya!


7. Membuang karat dari perkakas laman

Cuka boleh membersihkan perkakas laman anda bersih dari karat. Hanya perlu renjis atau rendam perkakas tersebut dalam cuka yang cair dan biarkan ia rendam beberapa minit.

Kemudian basuh dan bersihkan perkakas tersebut.


8. Membunuh siput dan lintah bulan

Cuka boleh membunuh siput dan juga lintah bulan yang merosakkan pokok anda. Anda hanya perlu menyembur sahaja cuka kepada mereka. Ia akan 'mencairkan' mereka dan selepas itu anda hanya perlu buang sahaja mereka.

Namun, sebelum merenjis pastikan siput dan lintah itu basah. Jika tidak ia tidak akan berkesan.