Sebelum perjalanan semak beberapa perkara terlebih dahulu.

Berapa lama anda merancang percutian?
Jika percutian yang dirancang hanya mengambil masa lebih kurang seminggu, kebiasaannya tanaman masih mampu menampung keperluan kelembapan yang diperlukan pada tempoh tersebut. Namun jika lebih dari itu, persiapan siraman sokongan perlu disediakan kerana tanaman berpasu mula mengalami simptom kehilangan kelembapan di dalam tanah.

Apakah jenis tanaman yang anda miliki?
Jika ada biji benih atau anak pokok yang baru disemai, ia memerlukan penyiraman setiap hari kerana tumbuhan tersebut masih belum stabil. Namun untuk tumbuhan yang telah matang dan stabil, ia mempunyai daya ketahanan yang tinggi.


 Apakah cuaca tempatan di kawasan kediaman anda?
Pastikan anda prihatin terhadap bacaan atau jangkaan cuaca yang telah disediakan oleh pihak berkuasa. Jika bacaan menunjukkan sepanjang percutian akan berlakunya musim panas, pastikan persiapan lengkap untuk mengelakkan berlakunya penyejatan berlebihan terhadap tanaman berpasu.


Jika ketiga-tiga perkara tersebut telah dikenal pasti, bersiap sedia dengan langkah berikutnya:

  1. Seawal penanaman, pastikan medium tanaman yang digunakan mempunyai kandungan bahan organik yang tinggi untuk memegang kadar kelembapan yang optimim dalam jangka masa lama.
  2. Sebagai booster, campurkan medium tanaman berpasu dengan polimer yang bertindak sebagai pengekalan kelembapan. Ia berupaya memerangkap kelembapan untuk jangka masa yang panjang di samping memperbaiki sistem pengudaraan dan saliran medium pasuan. Anda boleh mendapatkan polimer di nurseri sama ada dalam bentuk serbuk atau butiran.
  3. Gunakan pasu yang dilengkapi dengan sistem penyiraman sendiri (self watering pot). Pasu jenis ini mempunyai ruang simpanan air yang berupaya membekalkan keperluan kelembapan yang diperlukan tumbuhan untuk jangka masa yang panjang.
  4. Ikuti amalan penyiraman dan penyaliran baik untuk tanaman. Pastikan tanah di dalam pasu sentiasa digembur untuk memastikan sistem saliran dan pengudaraan di dalam medium pemasuan sentiasa dalam keadaan baik. Secara tidak langsung ia berupaya memudahkan tugas-tugas penyelenggaraan.
  5. Rancang sistem saliran automatik terlebih dahulu untuk tujuan penyiraman yang lebih kondusif. Sistem penyiraman automatik ini bukan sahaja menjimatkan air tetapi juga menjimatkan masa dan tenaga.
  6. Lakukan cantasan dan buang 1/3 dari daun yang terdapat pada tumbuhan. Ia salah satu cara untuk mengurangkan kadar keperluan dan penyejatan air pada tumbuhan.
  7. Pastikan siraman menyeluruh dilakukan sebelum anda berangkat. Pasu yang telah disiram sepenuhnya mampu bertahan sekurang-kurangnya untuk tempoh seminggu sebelum penyiraman seterusnya.
  8. Elakkan dari melakukan pembajaan seminggu sebelum anda merancang percutian kerana dikhuatiri baja yang digunakan akan menyebabkan gangguan kepada keseluruhan sistem pokok. Selepas pembajaan, siraman perlu terus dilakukan segera dan secara kerap. Ini bagi mengurangkan kadar kepanasan baja yang diserap akar. Jika tidak pokok akan cepat mati.
  9. Gunakan kaedah slow drip yang disambungkan pada botol berisi air. Tanah akan menyerap air secara perlahan-lahan dan mengikut keperluan.
  10. Alih atau pindahkan tanaman berpasu anda ke kawasan yang mempunyai teduhan terutamanya ruang yang terlindung dari terik matahari di tengah hari. Ini kerana waktu tersebut akan berlakunya proses evaporasi atau penyejatan yang tinggi terhadap tanaman anda.
  11. Susun pasu secara berkumpulan untuk membentuk mikro iklim lembap secara semula jadi untuk mengurangkan kadar evaporasi.
  12. Gunakan bahan semula jadi seperti sabut kelapa, lalang kering dan serpihan kayu  sebagai sungkupan untuk mengekalkan kelembapan tanah. Hamparkan sekurang-kurangnya 1 inci hingga 2 inci sungkupan dari permukaan tanah di dalam pasu untuk mendapatkan kesan yang lebih optimum.
  13. Gunakan jaring Paranet sebagai naungan sementara kepada tanaman berpasu. Pastikan pengamatan cahaya pada jaring Paranet mengikut keperluan tanaman anda.
  14. Sediakan rumah hijau sementara untuk setiap pasu. Pacak empat batang kayu di sekeliling pasu. Kemudian gunakan plastik berona putih dan sarung secara terbalik pada batang kayu yang telah disediakan. Pastikan bahagian pokok atau tumbuhan tidak bersentuh dengan plastik tersebut kerana ia boleh menyebabkan bahagian tersebut melecur. Namun, pastikan siraman dilakukan terlebih dahulu.
  15. Untuk anak benih yang baru di semai, ia boleh menggunakan kaedah yang sama untuk penyediaan rumah hijau sementara. Selain itu juga, anda boleh gunakan bekas atau botol plastik yang telah dibuang di bahagian bawahnya.
  16. Jauhkan tumbuhan berpasu anda dari sisi tingkap atau dinding berkaca terutamanya yang menerima terik matahari. Pantulan cahaya ini mampu mempercepatkan proses kehilangan lembapan pada tanaman anda.
  17. Himpunkan tanaman berpasu anda di dalam bilik air dan biarkan lampu sentiasa dinyalakan dan pastikan tab mandian atau beberapa biji baldi diisi dengan air dan diletakkan di sekeliling pasu. Secara tidak langsung ia  berupaya mewujudkan persekitaran lembap
  18. Penggunaan anti-desiccants pada permukaan daun dapat membantu mengurangkan kadar respirasi yang berlaku terhadap tumbuhan.
  19. Bina sebuah raised up planter bed dan tanam tanaman berpasu secara sementara di dalam kotak yang tersedia. Selain tanah, serpihan kayu, sabut kelapa atau bahan organik lain turut boleh digunakan sebagai medium tanaman. Pastikan medium tanaman diletakkan sehingga paras bibir pasu.
  20. Meminta pertolongan dari rakan atau jiran yang mempunyai minat bertaman yang sama adalah penyelesaian yang paling efektif terutamanya apabila anda merancang untuk bercuti lebih dari seminggu. Tidak memerlukan siraman secara harian, dua hari sekali sudah memadai.