Ketika mula-mula mendiami kediaman ini, pemilik pernah mengupah tukang rumah untuk melakukan renovasi tetapi terbengkalai apabila tukang rumah tersebut menyiapkan kerja separuh jalan. Sudahlah berhabis duit rumah pula tidak siap malah tukang tersebut hilang begitu sahaja. Sehinggalah akhirnya mereka terpaksa membersihkan sisa bahan binaan sedikit demi sedikit  yang ditinggalkan begitu sahaja.

Hampa dengan sikap tidak bertanggungjawab tukang rumah dan trauma ditipu lagi, mereka tidak melakukan apa-apa proses ubahsuai sehinggalah KJ ID CONCEPT datang membantu merubah kediaman mereka dengan bajet hanya RM2500.00

 

Rumah teres lot tengah bersaiz 18 kaki x 65 kaki yang kelihatan ‘biasa-biasa’ sahaja ini mampu tampil mengagumkan bagaikan sebuah kondominium mewah di tengah kota. Transformasi yang mengambil masa hanya setengah hari kelihatan amat berbeza setelah diberi nafas baru terutama pada penataan dinding.

“ Nak deko rumah tidak semestinya memerlukan belanja besar. Paling penting kena bijak cari barang yang sesuai dengan bajet kita tapi nampak cantik dan mahal. Wallpaper mampu ubah keseluruhan ruang rumah agar kelihatan berbeza dari sebelumnya,” jelas En KJ pereka dari KJ ID CONCEPT yang bertanggungjawab menghias kediaman pasangan ini.

Ruang tamu yang bersambung dengan ruang makan ini kelihatan hambar dan tidak bermaya. Simen dinding juga tidak sekata dan tidak kemas buatannya. Langkah pertama, pereka memilih wallpaper yang bersesuaian dengan konsep moden yang diingini pemilik. Hanya 2 roll wallpaper digunakan untuk menutup cela keseluruhan dinding. Corak menegak dipilih agar ruang tamu kelihatan lebih tinggi memandangkan siling rumah ini hanya 8 kaki tinggi.

“Sebaiknya gabungkan dua warna. Satu corak sebagai feature wall dan satu lagi menutupi dinding keseluruhan. Saya gunakan warna royal blue yang menjadi kegemaran pemilik dan juga peach untuk memberi efek kontra pada dinding. Kami berjaya siapkan proses memasang wallpaper ini hanya dalam tempoh 2 – 3 jam. Memasangnya sangat mudah dan ruang tamu juga tidak berselerak dengan teruk,” sambung En KJ lagi.

Sebenarnya nak cantikkan rumah tidak semestinya berbelanja besar. Kalau kita mempunyai bajet kecil pun sudah cukup. Untuk rumah ini kos make over hanyalah RM2500. Triknya ialah pereka mengguna pakai semula perabot yang ada di rumah dan tambahkan aksesori seperti throw cushion, langsir yang sepadan dengan wallpaper, karpet, lukisan dinding dan juga pasu bunga hiasan. Kini setelah memasang wallpaper, ruang tamu automatik bertukar cantik dan mewah.