Melihatkan kepada ciri-ciri fizikal yang berduri, berbulu halus dan tajam, pasti tumbuhan kaktus yang bermain di minda. Sering dikaitkan dengan tumbuhan gurun, pokok tahan lasak ini juga sesuai dijadikan sebagai  tumbuhan hiasan di ruang kediaman anda.

Kaktus menjadi salah satu tumbuhan hias yang cukup diminati. Selain penjagaannya yang mudah, antara sebab ia diminati adalah kerana reka bentuknya yang unik dan kesegaran rona hijau pada tumbuhan itu seringkali memikat pandangan. Bagi mereka yang sibuk bekerja dan tiada masa untuk menyiram tanaman setiap hari, kaktus dilihat sebagai salah satu pilihan yang boleh menyelesaikan masalah tersebut. Ini kerana tumbuhan ini bisa hidup dengan kadar air yang sedikit dan tahan lasak. Selain tanah, kaktus juga sesuai ditanam denga campuran pasir dan sedikit tanah.

Untuk pertumbuhan yang sempurna, kaktus harus mendapatkan penjagaan yang betul. Jika tidak, ia mungkin menghilangkan daya tarikan pada tumbuhan ini dan seterusnya akan mati. Perkara penting yang perlu diambil perhatian adalah mendapat pencahayaan yang secukupnya, kadar penyiraman yang betul dan menggunakan baja yang sesuai. Berikut merupakan tip-tip yang perlu anda tahu untuk penanaman kaktus ini.

 

  1.  Perlu diketahui kaktus memerlukan cahaya matahari secara langsung dan mencukupi untuk proses tumbesaran yang lebih baik
  2.  Kurangkan air pada tanaman atau seelok-eloknya kadar penyiraman dilakukan hanya sekali seminggu bagi menyediakan ruang aliran air pada tanah dan lebihan air akan menyebabkan akar kaktus cepat reput selain menyebabkan ia cepat mati.
  3.  Ditanam menggunakan tanah campuran atau campuran kompos, tanah pasir dan batu kecil atau pecahan kecil batu daripada tanah liat.
  4.  Baja yang sesuai untuk tanaman kaktus adalah sama ada jenis baja sebatian, baja campuran, atau baja organik, yang mengandungi unsur nitrogen rendah sebagai contoh seperti baja sebatian NPK 12:12:17:2 atau baja organik NPK 5:5:5
  5.  Semua semburan baja ini mesti dilakukan hanya sekali untuk tempoh dua minggu. Kekerapan membaja juga boleh memusnahkan kecantikan kaktus terutama daripada jenis berdaun lembut.

 

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.605908.1483415367!/image/image.jpg