Kegilaan baik yang sukar dibendung. Tanpa bantuan sesiapa. Jika dah minat dan diiringi dengan semangat apa sahaja boleh diatasi dan dihasilkan. Ditambah pula apabila minat itu mendatangkan faedah buat diri, orang sekeliling dan paling berbaloi dapat pula tambah pendapatan sampingan. Dari suka-suka kini sebati dalam diri. Barangan terbuang pun boleh bertukar menjadi elemen dekorasi.

Artikel kali ini pasti menarik  minat penggemar kayu terbuang pallet. Kini ia menjadi trend yang popular. Apa sahaja yang boleh dihasilkan daripada pallet ia akan mengundang kegilaan. Web IMPIANA ingin memperkenalkan peminat tegar kayu pallet iaitu Saiful Bahrin Bin Mohd Rani, seorang guru di Sekolah Menengah Alor Pongsu, Bagan Serai Perak. Berikutan minat mendalam dengan pertukangan kayu pallet, beliau sanggup menyediakan sebuah bengkel berhampiran kediamannya.  Ikuti temu bual Web IMPIANA yang telah diringkaskan:



1.    Bukan semua kaum lelaki minat bertukang. Bagaimana cikgu lahirkan minat itu?
Sekadar untuk mengisi masa lapang. Minat datang setelah ramai kawan-kawan meminati hasil kerja yang telah dilakukan dan saya cuba komersialkan menjadi pendapatan sampingan.

2.    Sejak bila dan mengapa minat dengan projek pallet?
Minat terbit sekitar lapan bulan lalu. Semuanya bermula setelah menyertai satu komuniti di Facebook (Pertukangan Kayu D.I.Y Malaysia). Saya pilih pallet kerana ia ibarat barang terbuang dan menjadi kepuasan apabila dapat menghasilkan sesuatu barangan yang bernilai.

3.    Jenis kayu pallet yang digunakan?
Kayu Pine yang diperoleh dari Kulim, Kedah.

4.    Bagaimana dapat ilham untuk setiap item projek palet?
Secara jujur saya suka berimaginasi dalam menghasilkan sesuatu karya dan tidak pernah melakar atau membuat pelan. Google dan perkongsian bahan di dalam grup juga merupakan sumber ilham.

5.    Bila masa buat projek pallet memandangkan ada kerjaya tetap?
Saya perlu bijak membahagikan masa. Waktu bekerja saya adalah sama seperti masa guru yang lain, cuma pengisian masa saya yang terluang digunakan untuk berkarya. Balik dari sekolah saya akan meluangkan masa 3 atau 4 jam untuk membuat projek. Sabtu dan Ahad saya akan menggunakan satu hari penuh masa tersebut jika tiada perkara lain.

6.    Sudah berapa banyak item projek pallet yang siap?
Ada dalam 300 item dengan 30 jenis pattern. Antaranya ialah kerusi, feature wall, meja, katil baby, rumah burung, balance bike, para dinding, peti surat, partition, bekas hantaran kahwin, troli bayi, kuda mainan, meja konsol, meja malas dan banyak lagi.

7.    Berapa lama setiap satu projek palet dapat disiapkan?
Kalau satu set meja empat buah kerusi dalam sehari. Sofa pallet L shape 6 jam.

8.    Tip untuk peminat baru dalam hasilkan projek pallet?
Minat perlu seiring dengan kesungguhan serta mencari dan menambah ilmu dari sumber atau medium sedia ada. Jangan malu bertanya. Ilmu perlu dicari bukan menunggu ia datang sendiri.

 

Kepada cikgu Saiful bahrin Web IMPIANA ingin mengucapkan tahniah atas usaha baik ini. Semoga ia menjadi ikutan.

 

Jom lihat hasil pertukangan kayu pallet yang di hasilkan oleh saiful Bahrin....