Impiana berkunjung ke kediaman jutawan kosmetik, Dato Aliff Syukri yang dikatakan kurang selesa ini. Namun sebenarnya ini hasil kunjungan kami. Apa pendapat anda?

 

Lokasi kediaman yang terletak di kawasan desa ini banyak memberi kelebihan pada penataan laman kediaman ini. Memiliki persekitaran laman yang agak luas, pemilik menata ruang lamannya dengan seimbang agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Elemen kejur pada laman dilembutkan dengan elemen air, tumbuhan hijau dan kolam ikan.

 

 

Lazimnya, bagi mereka yang sibuk dan berkemampuan, akan mengupah pereka bentuk dalaman untuk melakukan penataan interior. Namun tidak bagi Dato Aliff yang lebih selesa melakukan penataan interior berdasarkan idea dan cita rasa sendiri.

 

Kebanyakan perabot yang terdapat di kediaman ini pula hampir kebanyakannya dari Indonesia. Jika dilihat, setiap ruang diasingkan kerana ingin ruang tampil lebih privasi.

Memaksimumkan penggunaan ruang yang ada, pemilik menjadikan ruang berbaki pada sebelahan ruang tamu ini sebagai ruang santapan utama. Memuatkan sebuah meja makan bersaiz besar yang dilengkapi dengan lapan buah kerusi menjadikannya pilihan yang benar-benar bersesuaian untuk kediaman besar ini serta mampu memenuhi kapasiti tetamu. Kekal dengan imej dan konsep antik, meja makan set ini dipilih bergaya sama dengan perabot yang lainnya bagi mewujudkan keselarian konsepnya. Malah meja makan kayu jati ini kelihatan begitu unik dengan reka bentuk kayu yang kelihatan natural.

 

Memiliki jumlah bilik tidur yang agak banyak, iaitu lapan buah, pasti ia agak memeningkan bagi menata setiap satunya. Namun, ia tidak menjadi masalah buat pemilik.

“Setiap bilik tidur dihias mengikut cita rasa masing-masing. Tidak ketinggalan saya turut berkreativiti dengan dekorasi bilik, paling penting saya mahukan keselesaan untuk setiap ahli keluarga,” jelas Dato Aliff.