Melihat pada luaran apartmen yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur ini hanya boleh disimpulkan sebagai sebuah pangsapuri kos rendah yang mempunyai hiasan dalam yang 'biasa-biasa' sahaja. Namun begitu, kebijaksanaan si pemilik rumah berjaya mendekorasikan unit apartmen ini berubah menjadi seperti sebuah kondominium mewah tanpa perlu melakukan pengubahsuaian yang besar. Tampil dengan konsep moden kontemporari berona monokrom menyerlahkan lagi gaya glamor dan elegan pada setiap ruang. Semoga paparan perkongsian idea-idea menarik ini boleh dijadikan inspirasi buat anda.
 

 

Semasa unit apartmen yang berkeluasan 800 kaki persegi ini dibeli, ia hanya sebuah kediaman yang kosong. Sedikit demi sedikit, si pemilik kediaman berusaha untuk mengubah gaya hiasan dalaman apartmen miliknya. Bermula dengan menukar lantai tiles dan siling plaster, selebihnya lebih memberi fokus pada pemilihan perabot, cat dinding dan susun atur. Kesemua kos membaik pulih dan harga perabot tidak melebihi RM10,000.






Bukan hanya daripada segi konsep dan idea, pemilik kediaman yang merupakan seorang wanita ini juga melakukan sendiri kerja-kerja seperti mengecat dinding dan pintu, memasang kertas dinding dan hiasan pada dinding semuanya hasil usahanya sendiri. Ini termasuk dinding jalur hitam putih yang berada di sudut ruang tamu. Jangan anggap wanita tidak mampu untuk melakukan kerja-kerja rumah ya kerana pemilik ini sendiri sudah berjaya  membuktikannya. Hasilnya, memang superb!





Pemilihan warna hitam dan putih secara tidak langsung mencipta ilusi luas pada ruang yang sebenarnya sempit dan terhad. Ditambah pula dengan penggunaan cermin menjadikan ruang tampil begitu sempurna. 


 

Pemilik kediaman: Anith Syazana