Apabila menyentuh konsep klasik Eropah mungkin kedengarannya sudah terlalu biasa. Namun melihat garapan Norkhasidah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Sidah permainan ruang bersama sedikit elemen moden menyuntik kelainan serta gaya hias yang berbeza. Pengalaman bekerja di sebuah Firma arkitek bahagian pengurusan pada usia muda merupakan salah satu kelebihan pada pemilik mencetuskan Idea dan dekorasi yang begitu mempesona. Mengadunkan gaya yang harmoni dan serasi menjadikan kediaman yang telah berusia hampir 20 tahun ini masih tetap segar serta teradun sempurna.


Kedudukan lantai di ruang makan lebih tinggi, ia tampak eksklusif dengan gabungan penataan perabot dan ruangnya. Set ruang makan kemasan kayu jati dengan lapan kerusi dipadankan dengan kabinet pamer dengan rekaan yang elegan serta mewah.

Dinding tumpu ruang diperindah kan dengan hiasan dinding bermotifkan pemandangan mengukuhkan lagi gaya klasik yang menawan. Ruang ini turut dibantu oleh pencahayaan setempat daripada sebuah lampu hiasan pada atasnya. Pada waktu siang, pemilik lebih selesa menggunakan pencahayaan semula jadi daripada tingkap tinggi bersebelahan meja makan agar suasana lebih harmoni.



Ruang dapur yang tertutup dilengkapi dengan set kabinet rona putih menyerlahkan elemen Inggeris. Sebuah kaunter bar dibina di tengah-tengah selain berfungsi sebagai ruang menyediakan makanan ia juga di jadikan sebagai ruang makan tidak formal.

Bukan sekadar ruang dapur, pemilik juga menerapkan elemen ruang pameran kepada ruang dapurnya itu. Untuk itu, pintu kabinet separuhnya dibina daripada kemasan kaca dan dibantu dengan pencahayaan tumpu bertindak sebagai ruang pameran koleksi pinggan mangkuk blue willow dan spode yang kebanyakannya dibeli daripada Luar Negara.  Keunikan koleksi ini selain mempamerkan rekaan menarik serta imej Inggeris yang menonjol ia juga eksklusif serta punya nilai yang tersendiri terutama di kalangan peminatnya.