Bilik tidur sepatutnya menjadi tempat paling mendamaikan di dalam kediaman. Ditambah pula dengan konsep dekorasi yang mencerminkan personaliti anda juga identiti keseluruhan ruang ini. Untuk memberikan magis lebih natural, gandingkan elemen kayu dengan kesesuaian tema penataan.

Seperti semua kita tahu, bilik tidur merupakan ruang untuk menikmati waktu istirahat setelah seharian penat bekerja atau melakukan aktiviti rutin. Bilik tidur yang sempurna bukan sahaja selesa tetapi memiliki karakter tersendiri. Dalam soal ini, anda sebagai penghuni lebih tahu untuk mencorakkannya agar tidur malam lebih lena dan berkualiti.

Meskipun trend hari ini pelbagai material digunakan untuk mencipta bingkai katil, namun penggunaan perabot kayu tetap ada di dalam ruang ini. Tidak keseluruhan, mungkin satu dua sahaja. Ada juga yang hanya meletakkan item perhiasan daripada material kayu bagi mewujudkan suasana lebih semula jadi dan menenangkan. #

GAYA ORIENTAL

Cetuskan sebuah bilik tidur dengan tema bersifat etnik. Salah satunya gaya Oriental yang sangat rapat dengan dengan masyarakat Indo China. Pada keseluruhan ruang, gunakan sepenuhnya elemen kayu berona gelap diadun dengan kemasan lembut dalam rona terang atau lembut.

Pemilihan katil bertiang dihias tirai linen membangkitkan keindahan. Lantai rona merah oak meredupkan suasana, manakala kehadiran bangku yang diletakkan pada hujung katil, meja sisi juga kabinet penstoran dalam rona yang sama melengkapi aura semula jadi dalam ruang beradu. Untuk menambahkan dramatik, gunakan lampu chandelier rekaan klasik.

ILHAM KAYU PALET

Bilik tidur dalam warna semula jadi pada penggunaan tekstil dan cat dinding akan mewujudkan keharmonian keseluruhan ruang. Untuk mencipta penegasan dan titik tumpu yang unik pada bilik tidur gaya moden, anda boleh gunakan kayu palet dan lekatkan pada dinding. Ia boleh juga dijadikan sebagai kepala katil dengan melekatkan kayu palet tersebut sehingga mencecah siling. Untuk nampak sedikit kontra, anda boleh gandingkan perabot berona gelap dan cerah.

ALL WHITE

Semuanya putih. Siapa mengatakan putih itu membosankan? Putih merupakan rona yang membuatkan suasana di dalam bilik tidur terasa lebih tenang, lembut dan suci. Selain dinding dicat putih, anda boleh abadikan ia dengan pemilihan perabot seperti katil dan meja sisi juga berwarna putih. Digandingkan dengan kemasan lembut iaitu cadar dan sarung bantal bercorak agar tidak kelihatan terlalu kaku. Pemilihan lantai laminasi berona putih keabuan menambahkan lagi karakter pada ruang berehat ini.

 

Komen anda

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: