Dengan gelaran ‘Queen Of Tropical flower’ miliknya, tidak hairanlah ramai yang memilih bunga raya sebagai tanaman hiasan mesti ada di laman mereka.

Antara spesies bunga raya yang dikenali secara menyeluruh adalah Hibuscus Rosa Sinesis atau China Rose. Dengan variasi  bentuk kelopak dan warna seperti merah, merah jambu dan putih, mungkin tidak ramai yang menyangka bahawa inilah bunga kebangsaan yang telah dipilih oleh Malaysia dan negeri Hawaii.

Di India, China Rose dipetik dan ditumbuk sehingga warna merah bertukar menjadi ungu kehitaman. Setelah itu mereka akan menggunakannya untuk menghitamkan sepatu.  Penduduk wanita di China pula mengambil pendekatan berbeza dengan menggunakannya sebagai pati menyihatkan rambut dan bulu kening.

 

 

Sebagai antara pelapis kepada penyelidik spesies bunga raya hibrid, Robert Dupont Sr. telah memulakan kajian sejak tahun 1997.  Daripada situ terhasilnya spesies hibrid yang menarik seperti bunga raya Cajun Hybrid. Proses membiak mengambil masa yang agak lama  dan memerlukan hampir enam bulan untuk anak pohon bercambah.

 

Antara yang menjadi kegemaran ramai adalah spesies Evangelini yang boleh didapati dalam rona kuning, putih gading dan merah. Ia boleh membesar sehingga ketinggian sekitar 3 kaki dan bersifat tahan lasak.

Bunga raya Moshheautos atau dikenali sebagai Luna White ini tergolong di dalam kumpulan dinner plant hibiscus kerana saiznya yang besar. Manakan tidak, diameter kelopaknya sahaja mampu berkembang sehingga lapan inci. Sering kali Luna White ditemui dalam rona putih dan merah jambu dengan titik merah jambu pada bahagian tengah. I a juga sering ditanam di atas tanah kerana sifatnya yang senang mengadaptasi cuaca  dan elemen sekeliling.

 


Bentuknya tidak seperti bunga raya yang biasa ditemui tetapi spesies Hibiscus Mutabilis ini merupakan antara spesies eksotik yang cukup digemari peminatnya. Ia juga dikenali sebagai Confederate Rose, kelopaknya tumbuh berpasangan dan mampu berkembang sehingga  diameter enam inci. Apa yang begitu menguja adalah sifat warnanya yang bertukar daripada putih kepada warna merah jambu, jingga atau merah dalam tempoh tertentu.

 

 

Panggilan Japanese Lantern dan coral hibiscus sering terdengar apabila bercakap mengenai  Hibiscus Schizopetalus. Mungkin kerana bentuknya yang berjuntai rendang dengan kelopak yang banyak. Ia ditemui buat pertama kalinya di Madagascar dan ia cukup sinonim dengan iklim Tropika. Hasilnya, ia senang berbunga setiap tahun terutamanya setelah musim hujan. Untuk mengekalkan kesegaran tanaman, gemburkan tanah setiap tiga hingga empat tahun sekali  agar proses pendebungaan tidak sesekali terganggu.

 

Tip Penjagaan
Bersesuaian dengan tahap suhu di Malaysia yang mengalami iklim panas dan sejuk sepanjang tahun, tanaman bunga raya memerlukan kadar suhu di antara 16 hingga 32 darjah Celsius. Adalah baik jika anda membiarkan  sahaja tanaman berpasu ini di bahagian luar kediaman yang redup ketika keadaan cuaca normal. Apabila tiba musim hujan berpanjangan, sudah tiba masa untuk membawanya masuk ke dalam.