Kita memang sedia maklum, tatkala berpindah sahaja dari kediaman lama ke kediaman baharu impian untuk menghiasnya seindah mungkin boleh dikategorikan sebagai satu misi hidup dan mati. Ia harus dilakukan sehabis baik mengikut kemampuan diri. Jika tidak mewah pun sekurang-kurangnya ia cantik pada pandangan mata, kemas dan terjaga rapi biar pun dengan sedikit suntikan aksesori. Tidak dapat tidak sudah tentu kita mahukan imej dan azam baharu mengekalkan keindahan rumah itu. Dan misi itu penulis temui dalam pasangan bahagia Mohd Fadly Daud dan isteri Intan Suria di kediaman baharu mereka di Puncak Bestari.

 


INFO KEDIAMAN

PEMILIK: Mohd Fadly Daud dan Intan Suria

JENIS KEDIAMAN: Teres dua tingkat (Unit tengah)

LOKASI: Puncak Bestari

KONSEP INTERIOR:Vintaj Kontemporari

KELUASAN: 22 kaki x 70 kaki

IKLAN

SPESIFIKASI: Sebuah ruang tamu + makan, 4 buah bilik tidur, sebuah bilik utiliti dan 3 buah bilik air.


 

25 Disember 2014 merupakan hari bersejarah buat mereka kerana itu lah tarikh mereka sekeluarga berpindah masuk ke kediaman baharu dari kediaman sewa yang dihuni sejak berbelas tahun lalu. Sebelum berpindah pemilik terutama sekali sang isteri, Intan Suria sudah nekad untuk menghias kediaman sebaik mungkin. Perlu ada perubahan dan perbezaan. Ini lah masa sesuai untuk dia mencurahkan idea menghias rumah.

Menurutnya, sewaktu menyewa di kediaman lama di pinggir Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) tidak banyak yang diusahakannya bagi mencantikkan ruang dalam kediaman berikutan kekangan ruang. Perabot juga tidak banyak waktu itu. “Alhamdulillah dengan rezeki yang Tuhan beri, maka dapatlah saya dengan bantuan suami menzahirkan apa yang tersimpan dalam hati selama ini,” ulas Intan di awal sesi temu bual.

Kediaman Intan sekeluarga memang tidak menghampakan. Pemilik yakin dan tegas dalam hal menetapkan skema warna keseluruhan kediaman. Kesinambungan warna utama iaitu putih, biru dan coklat jelas diterapkan dari luar fasad kediaman hinggalah ke bilik tidur.

IKLAN

“Biru dan putih memang warna kegemaran saya maka penguasaannya jelas ketara dalam ruang kediaman sama ada dinding atau perabot. Bukan bermaksud lambang personaliti, namun warna ini memang menyuntik ketenangan, nyaman dan damai saat berada di dalamnya. Berbanding dahulu, kini kami sekeluarga memang banyak menghabiskan masa bersama di dalam rumah. Jarang sangat keluar melainkan ada urusan penting,” tegas Intan yang cukup ceria bercerita.

 

Sebelum berpindah masuk, pemilik telah melakukan sedikit penambahan ruang masak di bahagian belakang iaitu unjuran 8 kaki ke belakang untuk dapur basah. Ruang ini memudahkannya menyiapkan hidangan keluarga tanpa risau ruang dapur kering sedia ada berkecah atau berminyak. Selebihnya adalah idea-idea dekorasi yang direalisasikan oleh Intan dengan bantuan Fadly.

“Suami banyak membantu saya dalam melakukan kerja-kerja berat seperti mengecat dan bertukang. Dan anak-anak juga turut saya libatkan terutama dalam hal mengemas dan mengalihkan kedudukan aksesori atau perabot apabila tiba mood saya hendak mengubah visual interior,” maklum Intan sambil tersenyum ke arah suami yang mengangguk setuju.

Dalam rancak penulis dan Intan berbual Fadly cuba mencelah,”Saya dan anak-anak menjadi team sokongan kepada semua hasrat Intan. Kami tahu, apa sahaja perubahan dekorasi yang ingin dilakukan, semuanya adalah untuk keselesaan kami juga biarpun kadang-kandang perubahan itu baharu sahaja dilakukan

Sebelum berpindah masuk ke kediaman baharu, Intan cukup rajin mengumpul idea dekorasi dengan membelek majalah IMPIANA dan DAPUR Impiana serta membaca buku rujukan. Namun apa yang paling menarik perhatian penulis ialah kegigihan dia dan rakan melawat unit-unit kediaman contoh yang banyak dibuka oleh pihak pemaju perumahan.

“Kita perlu rajin sikit mendapatkan idea jika tidak mahu mengupah pakar hiasan dalaman. Kutip lah idea dekorasi sebanyak mungkin. Tentukan konsep yang berkenan di hati sebagai panduan. Menentukan konsep sengat penting agar mudah untuk kita tetapkan jenis serta reka bentuk perabot, warna dan corak yang mendominasi ruang,” nasihat Intan.

KONGSI WARNA KOD

Menceritakan kisah usaha menghias kediamannya ini, Intan menjelaskan bahawa kebanyakan perabot yang ada adalah perabot baharu. Usaha mix and match untuk mendapatkan konsep vintaj kontemporari banyak bersandarkan kepada skema warna utama yang menjadi pilihan.

IKLAN

“Asalnya saya mahu warna terang iaitu biru atau hijau, dan hasil perbincangan dengan suami, maka kami memilih biru, putih dan coklat sebagai warna-warna sokongan. Dinding utama ruang tamu dan makan ini kami gunakan cat Nippon Skyblue selebihnya adalah warna putih solid. Bagi memastikan adanya kesinambungan, saya mensyaratkan perabot dan aksesori lain tidak lari jauh daripada warna-warna ini. Manakala untuk daun pintu , troli makanan dan bingkai cermin serta kerusi besi taman, Fadly bantu saya mengecatnya menggunakan Sea Master 6632 berasaskan minyak”

 

“Set meja makan kayu dari Ikea, sofa chesterfield dan dua buah ottoman bulat dari Ain Furnishings menjadi pilihan sebagai kemudahan seisi keluarga. Kertas dinding berpelekat yang dapat dilihat sewaktu melangkah masuk ke rumah itu pun berasaskan warna biru dan putih. Saya beli di Kaison pada harga yang amat murah. Pasang sendiri sahaja, itu kan lebih mudah?,” terang Intan menjelaskan skema warna kediaman.

GIAN MENDEKO

Intan memaklumkan bahawa dia suka mengubah susun atur aksesori dan perabot yang ada sekurang-kurangnya sebulan sekali. “Ini adalah cara paling mudah dan murah untuk saya mendapatkan imej visual ruang agar sentiasa segar. Ia juga adalah satu bentuk terapi. Saya cepat berasa bosan tetapi Alhamdulillah suami dan anak-anak amat memahami. Dalam menerapkan idea baharu, saya tidak suka bertangguh. Ia harus dilakukan dengan segera.”

Terbaharu bagi menyuntik imej segar dalam ruang tamu dan makan, pasangan pemilik bersatu hati dan tenaga memasang sendiri lipstik dinding atau wainscoting. Wainscoting yang kini semakin digilai pencinta seni hiasan kediaman mampu melahirkan imej ruang elegan dan kemas.

 

“Hendak jimatkan kos pemasangan, maka kami menempah pakej wainscoting menerusi online.  Kami memberikan ukuran dinding yang perlu kepada pembekal dan mereka akan memotong kepingan panel kayu lipstik dinding berdasarkan ukuran panjang dan tinggi dinding. Memandangkan ini pengalaman pertama kami memasang wainscoting, keadaan agak sedikit kelam kabut. Namun atas usaha gigih, kami berjaya menyiapkannya dalam dua hari,” terang Intan dalam nada puas biarpun ada sedikit kecacatan namun ia masih boleh disembunyikan.

 

Usai sesi fotografi dijalankan, penulis sempat bertanya kepada anak remaja perempuan pemilik; Alya 16 tahun tentang ketaksuban ibu mereka menghias rumah, dalam nada bersahaja dia menjawab,” Kami reda cara ibu kalau nak rumah ini kekal cantik”.

 

Tip pasang sendiri wainscoting

  • Pemilik telah mengukur 39 kaki panjang x 3 kaki tinggi dinding untuk ruang pemasangan wainscoting ini.
  •  Untuk setiap kotak, peruntukan 3 kaki panjang telah ditetapkan bagi mendapatkan hasil terbaik.
  • Dengan menggunakan gam silikon yang didatangkan bersama pakej tempahan, proses melekapkan panel ke dinding perlu dilakukan segera kerana gam ini cepat mengeras.
  • Ukuran perlu dilakukan dengan tepat sepanjang proses pemasangan, maka pastikan anda memiliki alat ukuran yang bersesuaian.
Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI