Bermula dengan sekadar melawat kediaman lama yang dimamah waktu, waris pemilik kediaman yang dibina pada tahun 1966 ini mendapat ilham untuk memelihara kembali kediaman pusaka mereka. Apatah lagi bila mengenangkan sudah tidak banyak kediaman tradisi seumpama ini di serata tanah air. Jika tiada siapa yang membela nasib rumah tradisi seumpama ini, lenyaplah identiti seni bina Melayu secara amnya. Biar sudah banyak strukturnya reput dan hilang malah tangga untuk ke atas juga sudah tiada, namun lahir semangat dan tekad untuk menjadikan rumah lama ini sempurna kembali.

Ia bukan satu kerja mudah kerana kayu bukan material yang murah dan mereka yang pandai bertukang kediaman tradisi Melayu juga kini sudah boleh dibilang dengan jari sepuluh. Aznol Hadi dan sepupunya menganalisa ruang yang boleh diguna pakai serta ruang yang sememangnya perlu diubahsuai demi keselamatan dan keselesaan. Kediaman tradisi yang mempunyai keluasan sekitar 4000 kaki persegi ini diubah suai baik di bahagian dalam juga luarnya.

“ Kami melihat kediaman ini perlu dibela dan dibaik pulih. Ia bukan sahaja mempunyai banyak nostalgia malah inilah warisan untuk anak cucu kami. Melihat di mana asal usul dan ia juga kini merupakan destinasi sanak saudara berkumpul, menyatukan kami secara tidak langsung. Biasanya bila orang tua sudah tiada, ramai yang membuat hal masing-masing. Jadi dengan berkat sepakat kami semua, kediaman datuk berjaya ‘dihidupkan’ kembali dan dibaik pulih serta diberi sedikit pengubahsuaian,” ujar Aznol Hadi yang merupakan ketua bagi projek baik pulih ini.

 

PELAN LANTAI DAN STRUKTUR

Sebagaimana pelan lantai kediaman lama, rumah ibu dan rumah dapur mempunyai unit yang berasingan. Malangnya rumah dapur kediaman ini sudah tidak dapat diselamatkan lagi malah agak berbahaya kerana sudah tidak kukuh. Banyak struktur yang rosak dan hilang. Jadi rumah ibu diperkemaskan dari struktur lantai, bumbung nya dan rekaan jendela nya juga dinaik taraf. Hasnol memilih rekaan jendela lama yang mesra persekitaran. Struktur pangsi pada jendela, memberi kitaran udara agar nyaman sentiasa. Malah tangga kediaman ini juga dinaik taraf dengan membina tangga batu yang mempunyai pengaruh Melaka tetapi dalam sentuhan kontemporari.

Apa yang menarik, rona asal kediaman ini dikekalkan. Manakala bahagian jendela dicat putih bagi menyerlahkan struktur bukaan sebagaimana yang sering kita lihat di kediaman kolonial atau pun kediaman tradisi Scandinavian. Elemen seumpama inilah yang menjadikan kediaman lama ini lebih berseri malah cantik dihias laman yang penuh dengan bunga-bungaan berwarna-warni.

IKLAN

 

“ Sebagai pereka bentuk dalaman, adalah satu cabaran bagi saya untuk mereka bentuk kembali suasana dalaman agar tampil lebih kontemporari, selesa dan nyaman. Maklum sahajalah dalam kita memelihara yang lama, tidak salah kalau kita menyajikan sesuatu yang baru,” ujar Aznol Hadi.

 

Selalunya kediaman Melayu dibahagikan kepada dua. Untuk orang lelaki berkumpul dan wanita. Lebar pada bahagian utama kediaman ini memanjang sehingga lebih 50’ lebar dan bahagian hadapan dibahagikan ruang dalam 5’ menganjur ke tangga masuk. Malah di bahagian hadapan di sebelah kanan tangga masuk, kediaman Melayu merupakan tempat solat yang mempunyai keluasan dalam 5’ x 7 ’ juga dibaik pulih dan di dwi fungsi sebagai ruang santai untuk kaum lelaki apabila pulang ke desa. Apatah lagi kawasannya yang dikelilingi jendela dan nyaman sentiasa dihembus bayu.

IKLAN

Salah satu idea menarik Aznol adalah menempatkan panel berbusa bagi meminimakan bunyi hentakan kaki pada lantai kayu. Malah panel ini juga membataskan ruang foyer dan ruang solat agar lebih privasi.

Dari anak tangga utama kita akan ke bahagian kiri kediaman yang membawa terus ke ruang balas ufuk barat yang dijadikan ruang menonton. Manakala ruang utama rumah ibu dihias indah dengan panel berbusa menutup dinding papan kediaman ini. Di samping menyerap bunyi, ia juga mudah dibersihkan dan tampil kemas.

 

IKLAN

“ Di samping dinding, perabot lama ini juga saya baik pulih dan beri sentuhan segar. Misalnya kerusi di ruang tamu ini , busanya semua diberi sentuhan baru yang lebih kontemporari dan mudah untuk diselenggarakan. Di samping perabot lain dan gambar-gambar lama juga saya naikkan kembali sebagai pencuci mata agar memori lalu keluarga ini tetap segar . Malah anak cucu juga boleh mengenali generasi terdahulu. Bagi saya ini adalah salah satu cara kita mendidik jati diri generasi baru agar menyintai tradisi dan warisan,” ujar Aznol Hadi lagi.

 

Ruang makan yang dahulunya di belakang kini diletakkan di tengah rumah. Ia bukan sahaja memudahkan untuk menjamu tetamu yang bertandang. Biar pun rata-rata apabila pulang ke desa, seisi keluarga lebih selesa menikmati juadah desa di bahagian dapur yang kini diperluaskan demi keselesaan ramai.

Kini rumah pusaka ini didiami oleh anak bongsu keluarga ini iaitu Puan Maimunah Hj. Alias. Selaras dengan adat negeri Sembilan sudah menjadi tanggungjawab anak perempuan menjaga kediaman pusaka agar terus dijaga rapi . Tambahan pula di kediaman desa, halaman yang luas membenarkan beliau bercucuk tanam dan membina taman nya. Paling tidak, anak cucu kini sudah punya ‘kampung’ untuk dituju apabila hari-hari kebesaran dan lain-lain.

Ternyata gabungan sentuhan baru dan lama dalam sebuah kediaman tradisi ini bukan sahaja menyentuh perasaan, malah Aznol berharap agar menjadi inspirasi kepada pemilik kediaman lain agar jangan sewenang-wenangnya merobohkan kediaman tradisi kerana itu adalah khazanah warisan bangsa. Benar ia bukan mudah dan murah. Namun jika ada usaha bersama, nescaya akan ada jalan terbaik untuk mengekalkannya terus tegak berdiri.

Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI