Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, itulah peribahasa yang tepat untuk menggambarkan Yuziyana Yusop, 40 tahun yang mewarisi hobi minat bercucuk tanam daripada ibunya,Sapiah Abd Hadi, 69.


“Semasa kecil lagi saya memang suka menemani ibu berkebun. Antara tanaman wajib yang ditanam ibu ialah lada, bendi, pokok kari, pandan dan daun kunyit. Jangan terkejut kerana semua tanaman yang kami tanam bersama itu sebenarnya ditanam di dalam kawasan kem askar kerana ayah saya seorang bekas askar. Walaupun sekarang ibu dan ayah saya sudah berpindah di Kuala Lumpur dan tinggal di apartmen saya, ibu dan juga ayah masih lagi meneruskan hobi menanam pokok-pokok tersebut”, ujar Yuziyana yusop yang selesa dipanggil sebagai Kak Zie.

 

 

Bercerita lanjut tentang kangkung yang ditanam secara hidroponik, Kak Zie mendapat idea tersebut dari sebuah Facebook Indonesia. Tertarik dengan teknik penanaman itu, Kak Zie lantas mencuba sendiri kerana bahan-bahan telahpun sedia lengkap mencukupi. Malangnya, Kak Zie menyatakan teknik tersebut tidak menjadi.

 

 

“Bahan memang sudah ada. Saya betul-betul tidak sabar untuk menanam kangkung. Geram lah sebab orang lain buat semua menjadi. Tetapi apabila buat sendiri ikut panduan Facebook Indonesia itu tidak berhasil. Usaha saya tidak terhenti setakat itu, saya juga banyak membaca petua yang dikongsikan oleh rakan-rakan dari grup Facebook berkebun. Sememangnya dengan adanya interaction seperti itu ia benar-benar cepat dan berkesan sebab cubaan kali kedua saya buat empat bekas tapis akhirnya menjadi”, jelasnya lagi.

 

 

Tidak lokek untuk berkongsi ilmu, Kak Zie segera menceritakan pengalamannya semasa menanam tanaman kangkung dengan menggunakan bekas tapis.
“Untuk proses menanam kangkung ini, pertama sekali ialah kita perlu merendam benih. Saya merendam selama 24 – 32 jam. Benih yang rosak saya akan terus buang.

 

 

Langkah kedua, toskan benih dan masukkan ke dalam bekas tapis. Kemudian tutup bekas tapis dan dibiarkan selama dua hingga tiga hari supaya benih cepat tumbuh. Selepas dua hingga tiga hari, ia akan mula kelihatan seperti anak tauge. Akarnya juga mulai panjang.

 

 

Jika akar sudah banyak, bolehlah ditambah air baja ab dan didedahkan kepada cahaya. Pastikan akar terendam, tetapi air baja jangan sesekali melepasi tapis kerana dikhuatiri nyamuk bertelur.

 

 

Kak Zie turut menambah, apabila proses tersebut telah berjaya dilepasi, menjaga tanaman ini tidak lagi sukar. Air baja sentiasa perlu cecah akar dan setiap tiga hari sekali, kangkung ini perlu diperiksa untuk memastikan tiada kewujudan jentik-jentik.

 

 

Tempoh untuk menuai kangkung ialah tiga minggu daripada ia mula disemai. Sekiranya lebih daripada empat minggu, kangkung akan rasa kurang sedap dan pokoknya mulai menjalar.

 

 

Selain daripada kangkung tapis, Kak Zie turut membuat bayam tapis, sawi tapis, Kesum tapis, dan hasilnya diberi kepada jiran-jiran. Jelasnya lagi mengakhiri perbualan.