Seakan – akan tidak percaya apabila membaca tajuk artikel ini. Iyalah, zaman sekarang nak mencari rumah sekitar RM100,000 juga sangat meleset! Tetapi semua ini menjadi realiti dengan hasil kerjasama beberapa pihak dan pelajar dari Politeknik dan Kolej Komuniti.

Sebuah projek perumahan yang dikenali sebagai Program Rumah Komuniti telah berjaya dibina dengan kos binaan serendah RM20,000. Keluasan saiz rumah ialah 600 kaki persegi (20 kaki x 30 kaki) dibina bersesuaian untuk keselesaan sebuah keluarga, kediaman ini telah direka dengan tiga bilik tidur dan sebuah bilik air.


Kronologi pembinaan:
2014 – Pada penghujung tahun 2014, mangsa banjir besar di Pantai Timur kehilangan tempat tinggal dan ini memberi inspirasi buat Datuk Seri Idris Jusoh untuk memberi sumbangan dan bantuan kepada mangsa yang terlibat dengan mendapatkan kerjasama dari golongan profesional dan mahir. Banyak isu yang dibincangkan ketika ini dari persediaan sebelum, semasa dan selepas bencana.


2015 – Bermodalkan peruntukan kewangan Ahli Dewan Undangan Negeri, mereka menyediakan tapak untuk pembinaan rumah dengan teknologi (IBS)  untuk mangsa bencana banjir.  Kehebatan teknologi IBS ini ialah ia menghasilkan platform kerja yang lebih kuar dan selamat dengan elemen pemasangan lengkap.

Rumah di bawah program ini telah siap dibina sebanyak 15 buah dan akan terus dibina sepanjang bulan ini. Perkembangan program sukarela ini turut diperluaskan di bahagian Tawau


Dibawah berikut ialah tempoh pembinaan kediaman fasa pertama di Besut akhir Mac lalu yang berjaya dapat disiapkan dalam tempoh 12 hari;
Hari pertama – Kerja-kerja ‘setting out’
Hari  kedua – Pembinaan lantai konkrit
Hari ketiga – pembinaan tiang besi
Hari keempat – Kerangka bumbung dan kepingan besi bumbung
Hari kelima – Pemasangan bumbung dan kerangka dinding
Hari keenam - Kerangka dinding dan pemasangan cement board
Hari ke 7 hingga 12 – Kerja-kerja pendawaian elektrik
Kerja – kerja pembinaan apron (kaki lima)
Kerja- kerja pembinaan tandas
Kerja- kerja pemasangan kerangka pintu dan tingkap
Kerja-kerja pemasangan dinding (wall filler) dan mengecat (undercoat)
Kerja-kerja pemasangan paip dan tangki serta mengecat


Usaha pembinaan rumah ini akan diteruskan lagi di bahagian Besut sebanyak 100 buah rumah sepanjang tahun ini dengan peruntukan kos RM2 juta dan akan turut dilaksanakan di Sabah melalui usaha Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.