Mungkin ada yang berkerut wajah apabila melihat kediaman yang satu ini. Cita rasa urban dengan pilihan rona taupe atau rona yang mempunyai adunan kelabu yang kini dikatakan menjadi aliran antarabangsa. Apartmen yang berkeluasan 850 kaki persegi ini menjadikan tatahias kediamannya dengan meminjam ilham kafe kopi.

Memilih sebuah sofa utama rona kelabu asap,  tuan rumah juga tidak lupa menghias dindingnya dengan rak yang juga merupakan lokasi penstoran kecil serta menambah nilai estetika pada tata hias ruang utama ini. Antara rahsia tuan rumah memilih rona sedondon di ruang terhad ini juga adalah untuk mengelakkan rasa sesak dengan segala perabot dan aksesori yang ada. Menurut Amir lagi, bermula dari memilih gaya industrial sehingga menjelajah ke idea kafe kopi, memberinya inspirasi yang begitu jelas apakah konsep yang berkenan di hati dan suasana apakah yang mahu diserakkan ke serata ruang kediaman. Dari situ mudah anak mudah ini mencari kelengkapan yang sesuai dan membantu merealisasikan impian beliau.

Bayangkan dalam ruang yang terhad ini, segala kelengkapan kediaman digandingkan dengan rona berlawanan. Bukankah ia bagaikan bertelagah untuk mencari tumpuan mata kita sedangkan ada di antaranya hanya menjadi pelengkap gaya dan bukan fungsi utama? Jadi teknik padanan rona harmoni seumpama ini dapat 'menyorok' pandangan mata kita daripada rasa sesak mahu pun sempit.

"Hiasan dinding seperti gantungan topi atau para-para horizontal ini juga boleh dikatakan sebagai aksesori pada dindinng. Ia bukan sahaja berfungsi untuk menempatkan keperluan peribadi malah rekaannya kini cukup unik dan cantik. Jadi disamping berfungsi untuk melegakan masalah ruang, ia juga menyerlahkan nilai estetika ruang. Cuma terserah pada kita bagaimana dan dimana untuk memasangnya," tambah Amir.

Menghala  ke ruang kamar dan dapur, kita disambungkan dengan ruang makan yang melintang dan cukup strategik lokasinya. Masih mengekalkan rona gelap misteri dan perabot moden kontemporari. Tuan rumah memanfaatkan segenap ruang kediaman yang ada dengan bijak. Dua unit meja makan 2 kaki x 3 kaki 6 inci disambung menjadi sebuah meja makan yang ideal dengan ruang yang ada. Sebuah sofa tiga tempat duduk, rona hitam pekat dijadikan sebahagian daripada set meja makan ini dan disandarkan pada dinding. Ditambahnya dengan cermin muka 5 kaki x 2 kaki 2 inci, dengan gantungan secara horizontal sebagai melengkapkan tata hias ruang ini. Secara tidak langsung ia merupakan rentetan persembahan idea hias dari ruang tamu membawa ke ruang makan.

Benar, ramai yang tidak berkelip mata tatkala melangkah masuk ke kediaman anak muda ini. Bukan sahaja ruang yang sempit mampu dihais cantik, Amir juga membuktikan bahawa warna yang gelap juga tidak salah jika dijadikan pilihan untuk menghias dinding. Apa yang penting perancangan dan padanan yang sesuai. Ini bermakna anda boleh merancang bentuk juga perbelanjaan untuk menghias sebuah kediaman idaman.