Banyak kita baca di dada akhbar tentang keluh kesah yang dialami oleh ramai pembeli rumah subsale. Bahagian pinjaman serta urusan pembayaran sudah diuruskan, tetapi timbul pula permasalahan tentang kesulitan penukaran nama pemilik daripada pemilik lama kepada yang baharu.

Isu ini telah dikupas oleh Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), En Salkukhairi Abd Shukor. Ikuti perkongsiannya agar pemilik kediaman di luar sana dapat pencerahan secara lengkap bagaimana untuk menguruskan pindahmilik nama hartanah.

1. Biasa berlaku, sesuatu hartanah yang dibeli kadang-kadang tidak dapat dipindah milik kepada nama pembeli.

Perkara ini mungkin disebabkan oleh:

i. Terdapat syarat tersirat daripada pihak berkuasa negeri yang menghalang ianya dipindahmilik dalam tempoh-tempoh tertentu misalnya 5 tahun atau 10 tahun (contoh : tanah yang baru diberi milik oleh kerajaan negeri, tanah kurnia, perumahan PR1MA dan lain-lain),

ii. Tidak mendapat kelulusan kebenaran pindah milik (consent) daripada kerajaan negeri atas sebab-sebab tertentu (contoh : belum cukup tempoh tertentu, jual daripada Melayu kepada bukan Melayu dan lain-lain),

iii. Terdapat sekatan undang-undang yang menghalang pindah milik ke atas bahagian yang tidak boleh dipecah bahagi (contoh: beli sebahagian tanah geran kongsi),

IKLAN

iv. Terdapat sekatan undang-undang yang menghalang pindah milik sesuatu tanah dilakukan (contoh : beli tanah yang tertakluk kepada Akta GSA seperti tanah FELDA dan sebagainya)

2. Sekiranya anda menghadapi masalah di atas, apakah solusi alternatif yang boleh dilakukan untuk melindungi hak dan kepentingan anda sebagai pembeli?

Antara solusi alternatif yang boleh dilakukan adalah :

i. Lantik peguam hartanah yang berpengalaman,

IKLAN

ii. Peguam hartanah akan sediakan Surat Wakil Kuasa Penuh (Full PA), di mana melalui Full PA tersebut tuan tanah memberikan kuasa penuh kepada pembeli untuk menguruskan dan melakukan segala apa yang perlu berkaitan tanah tersebut seolah-olah pembeli adalah pemilik kepada hartanah tersebut, dengan syarat pembeli hendaklah menjelaskan keseluruhan harga jual beli kepada tuan tanah melalui peguam selaku stakeholder.

iii. Peguam akan daftar PA di Mahkamah Tinggi dan Pejabat Tanah.

iv. Jika perlu dan bersesuaian, peguam juga akan sediakan dokumen-dokumen tambahan seperti Perjanjian Tambahan, Surat Ikatan Amanah dan lain-lain,

IKLAN

v. Melalui peguam yang dilantik, pembeli akan masukkan kaveat persendirian ke atas hartanah tersebut untuk melindungi hak dan kepentingannya.

Walau bagaimanapun, solusi alternatif yang saya nyatakan di atas hanyalah secara umum sahaja. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan proper legal advice daripada Peguam hartanah anda kerana setiap kes mungkin berbeza antara satu sama lain.

Cuma PERLU DIINGATKAN, solusi alternatif di atas hanyalah BERSIFAT SEMENTARA SAHAJA sehingga urusan pindahmilik dilakukan.

Perlu juga diingatkan, selagi belum dipindahmilik kepada nama anda, anda masih TETAP BERHADAPAN DENGAN RISIKO. Ini kerana Kanun Tanah Negara hanya mengiktiraf pendaftaran pindah milik sebagai bukti yang tidak boleh disangkal terhadap hak pemilikan sesuatu hartanah. Jadi nak tak nak, perlu juga diusahakan agar ianya di pindah milik kepada nama anda.

Sekian, terima kasih.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI