Tiada siapa yang akan menyangka di antara pokok-pokok di hutan ini ada sebuah hotel yang di bina di atas pokok dengan gaya yang cukup unik.  Terletak jauh di Utara Sweden, berdekatan perkampungan kecil Harads, yang mana kawasan ini merupakan lingkungan Arctic Circle, penginap di Tree Hotel bakal merasai pengalaman yang sangat mengasyikkan apabila Tree Hotel menawarkan suasana inapan yang sepi dan terperosok dari hiruk pikuk kota.


Mungkin ada yang bimbang dan tertanya-tanya risiko bahaya dan ketahanan binaannya. Jangan bimbang selain daripada memastikan hotel yang dibina jselesa, aspek-aspek ketahanan binaan dan keselamatan juga sangat dititik beratkan. Struktur binaan Tree Hotel diperbuat dari aluminium ringan tergantung pada batang pokok dan sememangnya dibina tinggi dari permukaan tanah. Ianya berbentuk sebuah kabin, kapasiti keluasan Tree Hotel ialah 4x4x4 meter dan setiap dinding Tree Hotel dilitupi dengan cermin pantulan.  Reka bentuk dinding ini memberikan refleksi luaran kepada persekitaran dan langit sekaligus membentuk camouflaged yang mana seolah-olah kewujudan Tree Hotel tidak dapat dilihat menerusi sekali pandangan anak mata.  



Dekorasi di dalam Tree Hotel banyak dipengaruhi oleh sentimen plywood dan dinding cermin tersebut memberikan pandangan 360 darjah pada persekitaran luar. Bagi mengelakkan cermin pantulan dilanggar oleh burung, rona lut sinar ultraungu digunakan sebagai melapisi tetingkap kaca atau cermin pantulan yang hanya dapat dikesan oleh burung-burung sahaja. Ruang hotel yang tidak begitu luas mampu memuatkan seramai dua individu dan penginap di situ akan disediakan double bed, satu ruang kecil yang menempatkan bilik mandi, ruang tamu dan anjung. Akses untuk ke kabin tersebut adalah dengan melalui titian yang dihubungkan di antara pokok-pokok di situ.