Tidak mustahil untuk sesiapa saja membina rumah idaman mereka di mana-mana, termasuklah di bangunan pejabat. Kata pemilik apartmen di kota Jakarta yang ingin dikenali sebagai ibu Joan ini, rumahnya ini adalah sebahagian daripada bangunan komersil yang telah ditinggalkan. "Jakarta sekarang bukanlah seperti yang dulu. Lebih ramai yang menjadikan pejabat atau rumah kedai sebagai rumah mereka kerana keadaan trafiknya yang amat sesak." 

Tambahnya lagi, Jakarta belum mempunyai pengangkutan awam yang efisyen lagi. Oleh itu, penduduk bandarnya tidak sanggup untuk menempuh kepadatan yang tidak kenal erti surut dan lebih rela bekerja dari rumah. Ibu Joan mendapatkan khidmat pereka dalaman, Iwan Sastrawiguna untuk mengubah unit ini kepada interior loft yang cukup anggun!

Loft seluas 3,800 kaki persegi ini lengkap dengan ruang tamu berbentuk bujur, ruang makan dan dapur bersebelahan serta laman mini siap dengan air pancuran.  "Saya memang menyukai elemen pokok dan berpendapat ia adalah elemen terapeutik untuk orang yang sudah berumur seperti saya ini," seloroh pemilik. Warna hitam dan putih menjadi mengembalikan gaya Klasik Kontemporari. Antara yang menjadi tumpuan adalah lantai checkered di ruang makan yang tampak mewah. Warna biru tiffany pada dinding dan siling ruang tamu pula memberikan rasa selesa dan cozy yang diinginkan ibu Joan.