Dalam kita pening kepala nak memikir konsep deko ruangan dapur, pasti banyak perkara yang bermain di fikiran seperti pilihan material counter top, pilihan warna kabinet, berapa banyak kabinet dapur nak letak untuk ruangan simpanan dan pelbagai lagi. Perasan tak semakin lama kita buat rujukan dan kajian dekorasi dapur, perkara yang paling penting adalah penetapan warna utama. Tidak kira apa pilihan konsep yang anda mahukan seprti moden minimalist, rustic chic, monokrom, dan pelbagai lagi, tema ini akan mengikut pilihan warna anda dan susunan lain akan menyusul mengikut kesesuaian.
Usah pening dan gusar, ikuti panduan 6 pilihan warna yang sesuai untuk dekorasi dapur rumah anda.
Kuning Matahari
Seperti sinaran mentari yang menerangi segenap isi alam semesta, warna ini melambangkan sikap optimis pemilik serta elemen keriangan yang dimilikinya. Selain itu, tona ini juga mampu merangsang selera makan dan secara tidak langsung berupaya menerangi ruang kelam di dapur anda. Padankan warna kuning dengan putih untuk tampilkan dekorasi yang seimbang. Antara bahagian dapur yang sesuai untuk ditekap warna kuning ini adalah kerusi bar, dinding accent atau backsplash, pilihan warna putih dan kuning juga sesuai diletakkan di pintu kabinet atau di permukaan counter top.
Biru Navy
Jika anda sukakan ketenangan, biru navy adalah pilihan yang tepat. Namun, pilihan rona ini jarang sekali dipraktikkan. Itu tidak bermakna anda tidak boleh mencubanya, gambar di bawah ini sudah memberi bukti nyata yang ia amat sesuai untuk digunakan di dapur.
Kelabu cerah dan putih adalah warna yang sesuai untuk dipadankan dengan biru navy. Jika pilihan wall panel serta backsplash warna kelabu industri, tatahkan kabinet anda dengan warna biru navy, pasti anda akan berpuas hati dengan hasilnya.
Metallic Megah
Kalau anda cuba untuk menambah elemen glitz dan elegan, pilihan bijak adalah warna metallic. Ianya kerana keadaan warnanya yang bling-bling menampakkan gaya mewah di dapur anda. Penataan warna metallic haruslah hadir bersama pilihan accent tembaga dan perak (pilihan material untuk paip singki dan lampu proofread yang digantung di atas island kitchen.
Material tembaga bangkit semula sebagai warna accent yang sesuai untuk digunakan di dalam rumah. Di dapur anda boleh gantikan segala perkakas krome dengan warna tembaga, percayalah dapur anda dari biasa kepada luar biasa serta bertambah menarik. Tambah lagi dengan pilihan teko serta cawan warna tembaga.
Warna kelabu
Adalah tidak wajar untuk katakan warna kelabu adalah pilihan yang membosankan. Tona kelabu akan membuatkan dapur anda lebih elegan dan bersih serta mudah untuk dipadankan dengan pelbagai material seperti kayu dan pelbagai lagi kemasan biasa kita lihat di dapur.
Di bahagian dapur, warna kelabu sesuai untuk dipadankan dengan warna perak. Kalau peti sejuk warna perak, saluti ruang simpanannya dengan warna kelabu, sama juga apabila dapur masak warna perak, hiasi kabinet serta laci kelilingnya dengan warna kelabu.
BACA:10 Perkara Wajib Tahu Sebelum Membina Ruang Dapur
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
9 Padanan Universal Dan Cantik Untuk Kediaman Dengan Tema Kelabu
Kelabu telah terbukti menjadi salah satu pilihan warna kegemaran ramai. Warna kelabu tampak neutral dan amat versatile sehingga boleh dipadankan dengan hampir setiap warna dan corak. Adakah anda bercadang untuk menghias dengan kelabu? Sedikit peringatan, warna kelabu datang dalam beberapa tona, suam dan sejuk, jadi agak mudah untuk tersalah pilih. Jika anda mahukan ruang yang nampak moden, gunakan warna kelabu bertona sejuk tetapi berlainan pula dengan warna kelabu suam, ia akan membangkitkan perasaan yang lebih klasik dan kontemporari.
1. GABUNGKAN BEBERAPA TONA KELABU.
Jika anda hanya menggunakan satu tona warna yang sama, ruang mungkn akan kelihatan hambar dan membosankan. Jadi adalah penting untuk menggabungkan beberapa tona kelabu agar ruang tidak nampak flat. Mulakan dengan lapisan asas, pilih satu tona kelabu yang benar-benar memberi inspirasi kepada anda, kemudian lapiskan dengan tona kelabu yang berbeza melalui perabot, hiasan lembut dan aksesori lain. Lemparkan kusyen bercorak untuk menambah tekstur ruang.
2. PERABOT KELABU.
Jangan hadkan penggunaan kelabu hanya pada warna dinding. Jika anda suka warna ini, pertimbangkan beberapa buah perabot untuk menambah mood moden. Rak atau almari juga adalah cara yang baik untuk tambahkan kelabu pada ruang anda.
3. METALIK SEBAGAI ESEN KELABU.
Aksesori metalik yang indah sememangnya amat cantik dipadankan dengan palet asas kelabu. Gunakan warna kelabu untuk latar belakang neutral anda bagi memberikan tumpuan kepada hiasan metalik.
4. CIPTAKAN LATAR BELAKANG SEMPURNA.
Kelabu adalah warna paling sesuai yang boleh digunakan untuk menghiasi dinding anda. penggunaan cat atau wallpaper kelabu tidak akan menenggelamkan warna esen.
5. TAMBAH DRAMA DENGAN KELABU GELAP.
Gunakan kelabu gelap untuk anda yang berani dan bold. Cat sekali dinding serta siling dan ia boleh dikontraskan dengan hiasan berwarna terang dan menarik. Ruang serta merta akan menjadi lebih dramatik dan berkarakter.
6. KEHIJAUAN SEBAGAI PENYERI.
Tumbuhan hijau atau corak tropikal akan dengan mudah menjadikan ruang kelabu lebih segar dan ‘ringan’.
7. PASTEL PADANAN KELABU LEMBUT.
Letakkan sekali warna kelabu dengan warna-warna pastel untuk ruangan nampak lebih lembut dan mesra. Untuk mengelakkan ruang terasa terlalu girly, gunakan juga warna lebih gelap dan corak hitam putih untuk mendapatkan lebih tekstur.
8. JANGAN ABAIKAN LANTAI.
Jika anda tidak tahu mana untuk bermula, pandang kebawah. Lantai sering dilupakan walaupun ia merupakan tempat terbaik untuk mula memasukkan sedikit demi sedikit tona kelabu. Bentangkan permaidani, perabot dan aksesori untuk mewujudkan ruang tamu yang sesuai dengan anda dan keluarga.
9. MAHU RUANG KELIHATAN MEWAH? MARBLE JAWAPANNYA.
Mungkin tidak semua ingin melabur untuk marmar, ciri gaya marmar adalah cara yang baik untuk menggabungkan beberapa tona kelabu ke dalam ruang dikediaman anda. Kertas dinding bercorak marmar atau kaunter top marmar akan kelihatan anggun dan mewah apabila digabungkan dengan kelabu menjadikan ruang lebih mewah dan eksklusif.
Sumber Imej : Carian gambar Google
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Dekor Maskulin Dengan Sentuhan Glam
INFO KEDIAMAN
Nama Pemilik: Muhammad Hafiz B. Zaidi.
Jenis kediaman: Teres dua tingkat
Konsep: moden kontemporari
Keluasan: 1,400 kaki persegi
Spesifikasi: Ruang tamu, dapur, ruang makan, ruang menonton 4 bilik tidur dan 3 bilik air
Pereka: Firdaus Bin Abdullah Sani, Grapesatwork
FB/IG: Grapesatwork
Jika si bujang lebih gemar menghias, itu bukanlah sesuatu yang pelik dewasa ini. Bagi penulis, si bujang yang minat menghias kediaman mempunyai cita rasa yang tinggi dan merupakan seorang yang teliti.
Sama seperti kediaman yang dikunjungi penulis yang terletak di Putrajaya milik Muhammad Hafiz. Keseluruhan kediaman siap di tata rias sejak awal dimiliki oleh pereka dalaman yang telah dilantik iaitu Firdaus dari Grapesatwork. Memandang pemilik pada ketika itu masih bujang, keseluruhan konsep dekorasi mengetengahkan gaya moden kontemporari dengan pemilihan warna maskulin iaitu hitam dan putih.
“Kemas dan rapi adalah fokus utama yang telah ditetapkan pemilik kepada dekorasi yang dizahirkan. Oleh itu, pemilihan aksesori tidak boleh terlalu sarat,”
pereka memberi pengenalan kepada keseluruhan dekorasi kediaman ini. Walaupun keseluruhan dekorasi bertemakan rona hitam dan putih, pereka memadankan sofa dari palet kelabu bagi mengelakkan keseluruhan padanan ruang tamu ini kelihatan bosan dan mendatar. Tampil berbeza, kebiasaanya side-board atau wall panel dipadankan pada ruang tamu bersama televisyen. Namun seperti yang diterangkan pereka di awal pertemuan, kemasan fokus utama pemilik. Oleh itu, kabinet dinding 3G dengan permukaan hitam menjadi pilihan.
“Untuk tampil lebih cozy di ruang tamu ini, siling diberi cat hitam untuk memaksimumkan keselesaan dan suasana lebih santai. Pemilihan lampu juga penting bagi menzahirkan ruang tamu yang santai ini. Oleh itu, penataan cahaya “warm light” membangkitkan lagi aura ketenangan bak hotel,” pereka menambah perincian. Memandangkan pemilik berminat dengan corak geometri, soft finishing seperti throw cushion bercorak garisan menjadi paduan yang seimbang seluruh dekorasi.
Memandangkan pemilik sudah berumah tangga, demi memberi keselesaan kepada isteri dengan penetapan dekorasi sedia ada pemilik memberi sentuhan melalui penambahan jambangan bunga berona putih dan padanan aksesori bersadur warna emas. Secara tidak langsung, ia akan membangkitkan aura elegan di dalam keseluruhan dekorasi.
Bersebelahan ruang tamu, tersedianya tempat santapan utama yang boleh memuatkan enam orang tetamu dalam satu masa. Ruang yang tidak begitu luas, pereka meletakkan cermin bagi memberi kesan visual lebih luas. Tambahan, ia antara salah satu teknik yang digunakan pereka bagi mengatasi masalah dinding yang kosong. Ringkas, wall shelf rona hitam menjadi ruang pameran aksesori dekorasi pemilik yang berbentuk geometri.
Elak wujudnya ruang terbiar, pemilik sematkan beberapa koleksi lukisan peribadi pada dinding yang kosong berbanding bingkai gambar yang memaparkan potret. Pemilihan lukisan dengan bingkai yang tepat membangkitkan lagi gaya elegan dan kemewahan dalam dekorasi kediaman ini. Tidak perlu banyak lukisan yang digantung pada dinding, namun kehadirannya memberi impak pada cita rasa dekorasi kediaman ini.
Mementingkan ruang legar maksimum memberi keselesaan buat isteri ketika melakukan aktiviti di dapur, Ruang skinny perlu bijak diolah, oleh itu pemilihan ruang penstoran kabinet bertutup adalah pilihan terbaik. Masih menggunakan konsep kabinet 3G seperti di ruang tamu, menjadikan ruang dapur sempit ini kelihatan kemas dan tersusun.
Menuju ke tingkat atas kediaman, ia menempatkan bilik tidur utama, 2 bilik tamu dan ruang menonton. Sedikit sentuhan vibrant diruang menonton, pemilik memilih rona merah yang dihadirkan dari bean bag dan floor cushion. Inginkan suasana lebih santai dan selesa ketika menonton, pemilik tidak menggunakan sebarang struktur kerusi atau sofa.
Penggunaan cermin di dalam bilik utama bukan sahaja pada meja solek malah sebagai hiasan menjadi pengapit pada kepala katil. Penggunaan cermin pada ruang beradu kali ini lebih kepada olahan pencahayaan semula jadi yang dipantulkan. Memberi perincian ekslusif pada dekoasi bilik ini adalah lampu meja yang bermotifkan geometri dengan kemasan rona emas mencetus suasana romantik di dalam bilik utama ini.
Walaupun dekorasi kediaman ini bertemakan hitam dan putih, dekorasi yang dizahirkan pereka dan pemilik tidak tenggelam dengan panduan rona maskulin yang ditetapkan. Ia diimbangi melalui padanan aksesori seperti lukisan, soft finishing yang sesuai. Tambahan pemilik dan pereka bijak mengolah penataan cahaya secara optimum agar tidak kelihatan sesak dan gelap dengan tema yang dipilih.
Nak teroka dekorasi kediaman maskulin ini secara “live” saksikan video 360 ini. Jangan lupa scroll skrin anda untuk paparan lebih menarik
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Hias Dapur Dengan Bajet Terhad, Tak Ada Kabinet Mewah Pun Boleh Kemas!
Ruang dapur yang praktikal, selesa dan cantik tentunya menjadi idaman buat pemilik.
Biasanya, persepsi pada rumah sewa termasuklah “tak perlu hias atau deko cantik-cantik, rugi sahaja”. Salah tu. Sebetulnya, tidak kira lah rumah sendiri atau rumah sewa, kediaman yang dideko cantik akan tampil lebih selesa dan akan buat anda rasa tak sabar-sabar nak pulak ke rumah selepas seharian bekerja. Itulah yang dipraktikkan oleh Puan Nur Diyana di kediaman yang disewanya bersama suami.
Menurut perkongsiannya di laman Kelab Kaki Deco Kaison, Ikea, Romantika, Eco dan Mr.DIY di Facebook Puan Diyana telah menerangkan secara terperinci bagaimana dia menghias dapur di rumah sewa dengan bajet yang terhad dan dengan keadaan dapur asal yang kosong. Jom kita semak satu persatu!
Semasa suami pindah ke rumah sewa ini, keadaan dapur beginilah – langsung kosong,yang ada cuma sinki. Saya cadangkan pada suami (ketika itu tunang) : “apa kata kita beli sahaja loose item yang perlu ikut keperluan dapur ?’’ – saya mulakan lakaran dan apa yang saya perlu cumalah tempat memasak, preparation area & unit penstoran. Orang lain waktu ini mungkin sibuk fikirkan barang hantaran tapi itu semua kami sudah selesaikan awal, apa yang kami perlu fikirkan adalah keadaan dapur yang berfungsi penuh selepas kahwin.
.
Dengan kawalan bajet yang ketat, saya yakin saya mampu siapkan keperluan dapur ini dengan bajet kurang dari RM 500 ! ‘’Biar betul ko ni dik bajet RM 500 satu dapur ni ?’’- mungkin itu lah yang ada di dalam fikiran acik acik dan akak akak sekalian. Sungguh, itulah anggaran yang hangus untuk peralatan utama yang saya gunakan :
• 2 Unit gas stove rack ( RM 70/each @ Shoppe)
• 4 Unit rak penstoran Hyllis saiz besar ( RM 49.90/each @ Ikea)
• 2 Unit rak penstoran Hyllis saiz kecil ( RM 39.90/each @ Ikea)
• Cat yang digunakan pula adalah cat lebihan dari ruang tamu
TOTAL : RM 419.40
Jadi misi perbelanjaan barangan asas saya berjaya !
*Tambahan lain seperti keperluan untuk membeli balang makanan di dapur, hiasan dinding, troli, para, skirting, kuali & periuk serta pinggan mangkuk berbeza bagi setiap isi rumah jadi, jadi bajet tambahan itu terpulang pada anda.
Inilah hasil dapur kami setelah kami berkahwin tiga bulan yang lepas. Saya cuba manfaatkan ruang dengan sebaiknya. Hasilnya,saya boleh katakan dapur ini hampir lengkap, saya ada :
• tempat memasak yang luas
• preparation area bersebelahan sinki
• rak susunan makanan kering
• rak khas untuk kitchen appliance
• rak khas untuk alatan mandian & cucian
• ruang khas untuk susunan pinggan mangkuk harian
• ruang khas untuk stok inventori makanan yang belum dibuka
• ruang khas untuk kuali & periuk
Bahkan beberapa perincian ringkas bagi menghidupkan mood ‘’farmhouse’’ di dapur. Meskipun tidaklah mewah, saya sudah cukup gembira dengan keadaan ruang dapur saya sekarang. Segala keperluan mencukupi dan terlihat sempurna bagi keperluan kami berdua.
Kitchen stove rack ini saya gunakan dua set dan diletakkan bersebelahan, satu saya jadikan tempat memasak dan satu lagi saya jadikan preparation area. Meskipun harganya cuma RM 70.00 satu, dibawahnya ada jaring yang membolehkan susunan periuk, kuali, kitchen utensils dan stok makanan kering yang belum dibuka. Tutupkan dengan skirting jadi semuanya akan nampak kemas dan teratur. Kain skirting pula hanya membaluti ruangan depan dan tepi rak, tidak di bahagian belakang bagi memudahkan kerja pembersihan. Kain ini dibeli pada harga yang sangat murah tidak sampai RM 50.00 pun kerana ianya kain ‘’reject’’ dari kilang tapi saya beli dan lihatlah hasilnya setelah siap dijahit. Upah jahit kain skirting begini pula dikira menggunakan kiraan kaki jadi harganya tidak sampai RM 100.00. Sungguh berbaloi pada saya.
Untuk hidupkan lagi konsep ala ala ‘’farmhouse’’ kononnya,saya tampal kepingan vinyl dari Eco Shop sahaja di atas table top supaya ada finishing rustic looks seakan kayu.Gam extra diperlukan agar kepingan vinyl tak lekang kerana air dan haba. Setakat yang saya guna, ianya tidak licin dan mesti dibersihkan terus selepas memasak.Option ini terpulang pada pilihan masing-masing, kalau nak plain besi sahaja tak ada masalah.
Rug tebal di lantai pula tidak digunapakai secara harian – hanya sesekali apabila tetamu datang berkunjung. Saya beli di lambakan bundle Pasar Rabu Ayer Hitam Johor, harganya cuma RM 40.00 dan sangat sesuai dengan tema dapur saya. Kainnya yang tebal, tidak licin dan saiznya juga besar. Info tambahan: Gunakan anti slippery pad tambahan sekiranya perlu pada bahagian bawah supaya rug setiasa kemas dan terletak elok, sentiasa pilih material yang tepat bagi mengelakkan risiko kemalangan & kecederaan di dapur
Bersebelahan dapur memasak disediakan troli beroda tiga tingkat dengan setiap satunya mempunyai fungsi tersendiri. Aras 1 diletakkan bekas bagi ‘’food garnishing’’—senang lepas masak boleh terus tabur, aras 2 bahagian plastik sampah dan aras 3 dimuatkan roll tisu dapur. Barangan ini pasti saja memudahkan kerja pembersihan semasa atau selepas memasak.
Penggunaan wallpaper jenis PVC berwarna putih di dapur adalah disengajakan kerana saya mahu backsplash ala rumah mat salleh. ‘’Tak susah ke nak bersihkan?’’—Sejujurnya tak ada masalah pun. Material PVC menjadikan semua kesan memasak senang dibersihkan, selepas siap kemaskan sahaja menggunakan kitchen wipes. Saya juga alert dengan post yang dimuatnaik oleh Public Health Malaysia yang menyatakan penggunaan wallpaper di dapur adalah tidak disarankan lebih-lebih lagi apabila peralatan elektrik dibalut.
Saya secara individu bersetuju dengan fakta ini kerana ianya melibatkan keselamatan seisi rumah. Suka saya suggestkan pada Tuan/Puan, pemilihan wallpaper yang lebih sesuai digunakan di bahagian backsplash biarlah sekurang-kurangnya dari material jenis PVC kerana ianya bersifat waterproof, oilproof dan heat resistance. Sekiranya mempunyai budget lebih dan masih mahu menggunakan wallpaper kerana tertarik dengan coraknya yang pelbagai, ada pilihan tempered glass di pasaran yang boleh dipasang pada backsplash namun kerja pemasangannya agak rumit dan memerlukan alatan khas seperti silicone glass sealent. Apa pun akhirnya,terpulanglah pada bajet dan pemikiran rasional anda.
Ketiadaan gas hood pula tidak menjadikan dapur saya berbau hapak kerana pengudaraanya baik. Tambahan pokok indoor jenis ‘Spider Plants’ (chlorophytum) di kawasan memasak pula sangat baik bagi ‘’air circulation’’ sesuatu ruang. Oleh itu, ianya sengaja disangkut sebagai ‘’air cleanser’’ semulajadi di dapur. Pasu tembikar berukir ringkas siap dengan tali yang menampung tumbuhan semulajadi ini saya beli di Bundle Serbaneka, harganya hanya RM 10.00. Berbaloi kan?
Tak ada almari dapur untuk simpan barang ? – Tak ada masalah ! Disebabkan tiada ruang penstoran, saya gunakan empat buah rak Hyllis bersaiz besar dari Ikea yang harganya RM49.90 satu.Saya ciptakan ruang seperti open pantry. Semua alatan memasak dan barangan kering seperti tepung,botol sos,kicap,beras serta rempah ratus saya susun mengikut kategori di situ.
‘’Elehh ko belum ada anak kecik boleh la dik, kalau anak akak habis terbalik dikerjakannya nanti’’—taip Kak A bukan nama sebenar pada ruangan komen. Mari saya beritahu, sebelum saya beli, saya akan study material ni kukuh ke tidak, di mana saya akan letak andai kata saya berpindah ke rumah sendiri nanti? Untuk makluman Tuan/Puan, Hyllis ni ketahanannya boleh menampung sehingga 25 KG setiap unit.Direka khas untuk kegunaan dalam dan luar rumah pula. Material jenis galvanized steel yang digunakan memang berkualiti dari review dalam dan luar negara yang saya baca. Di belakang Hyllis juga terdapat lubang kecil yang boleh di drill pada dinding misal kata takut rak ini terbalik.
Kak B pun menambah di ruangan komen,katanya : ‘’Macam mana kalau budak budak selongkar barang tu,kan dah berterabur ?’’— jangan risau, Ikea datangkan juga Hyllis ni dengan sarung (seakan baju) yang boleh dibeli berasingan sekiranya dirasakan perlu. Fuh penat explain. Okay mulai hari ini saya mohon semua undi saya sebagai jurucakap baru pada produk Ikea hahaha.
Pokok pangkalnya, cara sebegini mungkin tidak sesuai pada semua keadaan rumah. Suka saya ambil semula kata kata seorang ibu anak lima di group sebelah ” bila kita create rumah kita,ia sesuai dengan kita. Apa pulak buat rumah sesuai dengan org lain.” – jadi apa yang kita rasa sesuai, boleh buat. Tak sesuai, tinggal saja dan tak perlu buat.
“Eh rak ini bercahaya ke?”- Ya benar, mari saya ceritakan.Walaupun saya promote rak Ikea dan Shoppe di hampir setiap caption, saya takkan lupakan Eco Shop di mana segala-galanya idea deko kita sebagai rakyat marhaen boleh direalisasikan.
Di setiap tingkat rak Hyllis ini saya tambahkan lampu viral yang harganya cuma RM 2.10. Ianya akan melekat kukuh kerana ada alat penggantung (magnet& double sided pelekat Velcro) di belakang lampu. Beginilah keadaan rak di open pantry saya apabila semua lampu ditutup pada waktu malam. Terang kan ?
Ini satu idea yang pasti memudahkan kebanyakkan ibu-ibu di rumah. Meskipun tidak ada built in cabinet downlight, kita tak perlu lagi berdepan dengan masalah gelap dalam dalam kabinet bila malam,nak bancuh air pun tak nampak.
Ini ruangan sinki saya. Awas bawang rangers ! Sebelum taip apa apa, baca dulu ni dan buka minda anda ya. Kawasan sinki saya TIDAKLAH DIHIAS DENGAN JAMBANGAN BUNGA sebegitu pada hari biasa. Inilah yang kita namakan – for Instagram purpose hahaha. Selepas dah ambil gambar dan memberi effect farmhouse sink versi bajet yang saya inginkan, saya terus sun dried jambangan ini di luar rumah bagi kegunaan projek deko seterusnya iaitu di bilik tetamu. Saya beritahu awal awal, bimbang akak-akak semua tak faham apa motif bunga sejambak di situ, menimbulkan pertanyaan lalu meninggalkan komentar kurang enak untuk dibaca kemudian account anda akan di block oleh saya. Hahaha.
Baiklah, balik kepada cerita asal,kalau kawan kawan perhatikan dengan teliti,padanan rug di lantai saya samaratakan dengan warna langsir yang dibeli di Daiso sebanyak tiga helai, jadi harganya hanya RM 17.70.Di belakangnya ada dua keping day curtain yang dibeli di jualan longgok bundle berharga RM 2.00 sahaja. Jadilah tu tingkap ala-ala farmhouse versi bajet ciput. Pastikan juga langsir yang digunakan di dapur tidak dekat dengan kawasan memasak (sumber api), membolehkan pengudaraan serta pencahayaan yang baik dengan menggunakan material yang betul bahkan dilaraskan dengan labuh yang sesuai.
PS : Sekiranya ada bajet lebih/tinggal di rumah sendiri, pemilihan “blind curtain” lebih praktikal berbanding kain langsir untuk digunakan di dapur.
Peti ais pula tidak berada di kawasan dapur tetapi di ruangan ruang tamu kedua yang bersebelahan sahaja dengan dapur. Tidaklah menyusahkan bagi saya kerana saya selalu keluarkan terus bahan masakan dan dibawa ke dapur sebelum memulakan kerja memasak. Semua bahan untuk buat “rumah” di dalam peti ais ini saya beli di Eco Shop sahaja dan susun ikut apa yang ada…
Saya hack magazine holder RM 2.10 sebanyak 4 buah untuk dijadikan ruang isian makanan mengikut keperluan dapur saya. Bekas penstoran berpenutup yang bertangkai dibeli pada harga RM 2.10 pun saya gunakan untuk simpanan cili boh dan peeled garlic supaya baunya yang kuat tidak mencemari keseluruhan peti ais. Slim tray pula dari Eco Shop juga saya hack sebagai tempat simpanan produk tenusu atau soya seperti tempeh,tauhu dan sebagainya. Bekas tersebut boleh didirikan / dibaringkan mengikut kesesuaian ruang yang ada. Kesemua label sticker pun dibeli dari Eco Shop (satu pack ada 30 jenis sticker label kosong) pun berharga RM 2.10. Total yang perlu keluar bagi susunan yang teratur ? RM 16.80…kurang dari RM 20.00. Sayuran hijau dalam tray di bawah saya alaskan dengan drawer sheet jenis kalis air jadi tak merumitkan kerja pembersihan sekiranya ada sayur berakar/mejadi rosak sebelum penggunaan.Bila semuanya teratur, kerja memasak pun akan jadi lebih cepat.
PS: simpanan susu dan telur sebaiknya disimpan pada belah dalam peti ais,bukan di bahagian pintu kerana suhu sejuk disitu lebih konsisten dari seberang perubahan. Selalu ambil inisiatif untuk membaca dan tahu tentang keselamatan makanan kerana semuanya bermula dari dapur rumah kita sendiri.
Susunan ringkas bahan basah di dalam bekas berpenutup dengan label di ruangan sejuk beku. Meskipun ruang ini agak terhad, susunan begini mampu memuatkan seekor ayam, sebekas isi ayam, pelbagai bekas dengan isi haiwan laut seperti udang dan sotong, paru lembu, dua bekas ais krim berperisa dan daun masakan yang disejukbekukan. Sekiranya berkesempatan, susunan barang basah bagi portion sekali makan adalah lebih baik bagi proses nyahbeku.
Sumber : Kelab Kaki Deco Kaison, Ikea, Romantika, Eco dan Mr.DIY
Baca Lagi Di Sini:Tanam Lada Solok Tepi Rumah Je, Buah Lebat Siap Boleh Berniaga
Mesti Baca:Cara Elak Serangan Serangga dan Kulat Untuk Pokok Cili Guna Baja Organik Ini
Artikel Menarik:Panduan Lengkap Tanam Kelapa Hibrid MATAG Untuk Hasil Yang Lumayan
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI