Anda peminat dan mempunyai puluhan pokok ros di laman? Melihat ros berkembang mekar adalah antara saat yang paling mengembirakan. Namun si mawar berduri ini memerlukan penjagaan dan penelitian yang banyak untuk mendapatkan hasil yang baik. Ada yang sangup berbelanja mewah untuk keperluan tanaman ros mereka demi mencapai kepuasan tersebut.

Sama ada sedar atau tidak, bahan dari dapur anda juga berpotensi menjadikan ros anda kembang setaman. Tak perlu berbelanja tinggi dan paling penting ia mudah diperolehi. Antara bahan-bahan tersebut adalah seperti berikut:

1. Uncang atau daun teh terpakai
Daun teh mengandungi Tannic acid semula jadi yang digemari oleh ros. Oleh itu, usai guna uncang teh anda jadikan ia sebagai baja di pangkal pohon ros. Selain itu juga, daun teh yang sedang mereput berupaya menjadikan medium tanaman atau tanah lebih poros.

2. Kulit telur
Kulit telur merupakan sumber terbaik kalsium. Ia berupaya mempertingkatkan daya kekuatan tanaman dalam proses pertumbuhannya. Bila pokok sihat dengan pertumbuhan yang baik, ia bukan sekadar menjadikan pokok ros anda tumbuh merimbun malah mempunyai daya tahan kepada sebarang jenis serangan penyakit. Penggunaan kulit telur sebagai baja di pangkal pokok mampu mencegah penyakit seperti Black spot dan menjadikan akar lebih kuat untuk menyerap nutrien.

3. Kulit pisang
Kulit pisang mengandungi potasium yang diperlukan oleh pokok ros untuk tujuan merangsang penghasilan bunga. Selain dari itu juga, kulit pisang mudah terurai. Ini menjadikan, akar ros lebih mudah menyerap baja yang dibekalkan.

4. Cuka epal
Sama ada cuka epal atau cuka masakan yang berwarna putih mampu merendahkan tahap pH yang terkandung di dalam tanah. Bagi tanaman yang memerlukan keadaan medium acidophilic seperti ros, ia amat membantu untuk mempertingkatkan hasil bunga. Namun perlu diingat, cuka tidak boleh digunakan secara kerap kerana ia mampu menyingkir nutrien yang boleh mengakibatkan masalah kepada tanaman anda.

5. Tulang ikan
Anda tahukan bahawa tulang mempunyai kandungan vitamin dan mineral yang tinggi tidak kira lah ia dari lembu, ayam mahupun ikan? Namun kebanyakan jenis tulang lambat terurai tetapi tidak bagi tulang ikan. Kandungan vitamin dan mineral yang terkandung di dalam tulang ikan amat membantu petumbuhan optimum pokok ros seperti penggunaan kulit telur. Untuk lebih mudah diserap oleh tanaman, anda perlu keringkan dan hancurkan tulang tersebut sebelum ia ditabur sebagai baja.

6. Susu tepung
Susu tepung bukan sekadar sesuai digunakan oleh manusia malah pokok ros. Kandungan kalsium yang tinggi di dalam susu tepung membantu pertumbuhan baik akar dan daun foliar. Kajian turut menunjukkan bahawa pengunaan susu tepung terhadap pokok ros mampu mengurangkan gejala black spots dan powdery mildew. Untuk kesan yang lebih baik, campurkan dua bahagian air dan satu bahagian susu tepung dan jadikan ia sebagai siraman pada pangkal pokok atau semburan foliar.


7. Makanan kucing
Jika ada biskut kucing anda yang tidak habis atau telah tamat tempoh, ia sesuai dijadikan sebagai baja kepada tanaman. Tak semestinya memerlukan makanan kucing yang mahal, yang murah pun boleh. Biskut kucing mempunyai kandungan tambahan protin dan mikronutrient yang baik kepada tanah dan pokok ros. Untuk jadikan biskut kucing anda sebagai baja kepada ros, ia perlu di campur bersama air untuk menjadi baja cecair yang mudah diserap oleh akar ros.


8. Air rebusan sayur
Selesai merebus sayur, airnya jangan dibuang. Biarkan ia sejuk sepenuhnya dan jadikan sebagai siraman di pangkal pokok kerana ia lebih mudah dan cepat diserap. Air rebusan tersebut mengandungi nutrien yang terbebas ketika proses merebus sayur. Tapi perlu diingat, jangan letak garam atau penambah perasa ke dalam air rebusan kerana ia akan merosakkan tanaman.

9. Baking soda
Baking soda antara bahan yang paling mudah dan murah. Anda boleh gunakan ia untuk merawat masalah black spot dan mildew. Campurkan 1 sudu baking soda bersama beberapa titik cecair pencuci dan 1 liter air untuk dijadikan semburan pada bahagian yang diserang penyakit.

10. Air sabun basuh pingan
Larutan air basuh pinggan tidak lah untuk tujuan membaja. Tapi ia mampu merawat masalah aphids yang kerap dihidapi oleh pokok ros. Semburkan larutan air basuhan pinggan ke kawasan yang dijangkiti. Ia mampu menghilangkan lapisan pelindung pada Aphids dan secara tidak langsung mendedahkan serangga kecil ini kepada ancaman lain.

Komen anda

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: